Aktiviti PATI dijangka meningkat pada musim perayaan

Zulkifli (tengah) ketika berucap pada sidang media berkenaan, malam tadi.
Zulkifli (tengah) ketika berucap pada sidang media berkenaan, malam tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan laluan perairan Johor dijangka meningkat pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksama Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, ia kerana berdasarkan trend dari tahun sebelum ini yang mendapati musim perayaan adalah tempoh paling tinggi berlakunya kegiatan jenayah tersebut.

“Untuk kes PATI, tahun ini empat kes setakat Mei berbanding 13 kes untuk keseluruhan tahun 2018. Kita jangkakan ia akan meningkat lagi sama ada melibatkan kegiatan masuk atau keluar daripada negara.

“Ia perkara yang kami amat pandang serius, kerana tindakan pihak ini bukan sahaja akan menyusahkan diri mereka tetapi agensi dan pihak berkuasa sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Mereka (PATI) hanya membahayakan diri sendiri apabila menaiki bot tanpa aspek keselamatan yang betul. Operator bot pula memang tidak kira dengan perkara ini, mereka hanya mahukan keuntungan, lebih ramai lebih bagus, itu yang jadi sampai bot terlebih muatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa APMM Johor di Menara Tabung Haji di sini malam tadi.

Zulkifli berkata, bagi menangani perkara itu, kerjasama dengan pihak berkuasa lain akan terus diperkasa selain mamastikan rutin rondaan dilakukan dengan lebih kerap.

“Kita akan terus menjalankan operasi bagi menangani jenayah maritim itu dan usaha tersebut akan dapat dipertingkatkan apabila aset-aset agensi yang mengalami kerosakan diselenggara kontraktor yang akan dilantik kelak,” katanya

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlakunya peningkatan statistik membabitkan jenayah maritim terutama di Johor pada tahun ini.

Katanya, antara statistik aktiviti menyalahi undang-undang maritim yang mencatatkan peningkatan adalah berkaitan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kejadian jenayah maritim di Johor di bawah kesalahan ordinan perkapalan seperti berlabuh tanpa kebenaran, statistik sehingga Mei ada 24 kes manakala bagi tahun lepas 54 kes dan tahun 2017 pula sebanyak 30 kes.

“Selain itu, kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dalam tempoh sama untuk tahun ini menyaksikan 34 kes manakala sepanjang tahun 2018 dan 2017 pula masing-masing mencatatkan sebanyak 47 dan 51 kes,” katanya.