Notis pelucutan harta belum dapat diserahkan kepada ibu Jho Low

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Jabatan Peguam Negara belum dapat menyerahkan notis usul bagi melucut hak harta kepada ibu ahli perniagaan Low Taek Jo atau lebih dikenali sebagai Jho Low dalam kes pelucutan hak harta yang juga melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan individu lain serta syarikat.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain berkata pihaknya belum dapat menyerahkan kertas kausa itu kepada Goh Gaik Ewe selaku responden ke-13 ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Peguam, M. Puravalen yang mewakili Goh bagaimanapun memberitahu anak guamnya kini berada di luar negara dan beliau selaku peguam yang dilantik diberi kuasa untuk menerima notis berkenaan.

Muhammad Shukri kemudian turut meminta mahkamah memberikan masa bagi membolehkan pihaknya menyempurnakan penyerahan notis sama kepada beberapa individu lain.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan 30 Mei bagi pengurusan kes itu.

Turut hadir responden pertama Datuk Seri Najib Tun Razak, Aiman Ruslan (responden ke-8) Ng Chong Hwa (responden ke-14) dan wakil syarikat Senijauhar Sdn Bhd (responden ke-7).

Di Mahkamah Tinggi berasingan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya mengemukakan notis usul melucut hak baharu kepada Obyu Holding Sdn Bhd membabitkan cincin berlian emas putih bernilai RM6,200.

Hakim Sequerah menetapkan 8 Julai untuk pengurusan kes itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Mei lepas, Jabatan Peguam Negara telah menfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas daripada Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Notis usul itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini, menamakan pendakwa raya sebagai pemohon dan 18 individu serta syarikat selaku responden-responden.

Dalam notis usul itu Pendakwa Raya memohon suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi supaya disiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Daripada Aktiviti Haram 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut apa-apa kepentingan dalam harta yang dirampas daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan.

Ini bagi pihak ketiga menunjukkan sebab mengapa harta-harta itu tidak harus dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwa Raya menamakan Najib sebagai responden pertama diikuti Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Ng Chong Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden kedua hingga ke-18.

Alasan permohonan itu adalah bahawa Pendakwa Raya bertindak mengikut kuasa-kuasa yang diberi di bawah Seksyen 56(1) dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah telah berpuas hati harta yang disita oleh pegawai penyiasat polis antara 17 Mei 2018 hingga 11 Mac 2019 adalah berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau hasil daripada aktiviti haram melibatkan responden-responden.

Antara barangan yang disita itu ialah, 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama (17 Mei 2018) ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dan apa-apa faedah ke atasnya turut disita dalam beberapa akaun di Bank Islam Malaysia Berhad, Al-Rajhi Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Public Bank Berhad, AmBank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Turut dirampas satu unit hartanah di Mukim Bandar Tanjong Bungah, Pulau Pinang milik responden ke-13 pada 17 Jan tahun ini.

Pendakwa Raya juga memfailkan notis usul sama terhadap Obyu Holding Sdn Bhd selaku responden tunggal bagi memohon perintah supaya disiarkan notis di bawah seksyen sama bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut harta yang disita daripada syarikat itu untuk menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak harus dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Antara yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 11,990 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi yang disita pada 31 Jan 2019.

Selain itu, sebuah hartanah di sebuah Daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 Nov 2018.- Bernama