Darell Leiking ketua misi perdagangan ke Chile, Argentina dan Brazil

Darell Leiking
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama tiga hari ke negara-negara di Amerika Selatan minggu depan.

Misi itu meliputi Santiago, Chile (20 Mei), Buenos Aires, Argentina (21 Mei) serta Brasilia dan Sao Paulo, Brazil (22-24 Mei).

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata Leiking akan disertai oleh pegawai kementerian, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia serta wakil syarikat-syarikat Malaysia.

Sambil memanfaatkan kehadirannya di rantau ini pada Mesyuarat Menteri-Menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan di Valparaiso, Chile, dari 17-18 Mei, Leiking akan bertemu wakil kerajaan, dewan perniagaan dan persatuan serta syarikat di Chile, Argentina dan Brazil, bagi meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala dengan negara-negara berkenaan.

MITI berkata, pelbagai perbincangan, termasuk pertemuan perniagaan bersemuka dengan tokoh industri terpilih, bagi mempromosi peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia dalam sektor berpotensi seperti automotif, runcit, perabot, sarung tangan getah, halal, teknologi maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan.

Di Brasilia, Leiking dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, serta kunjungan hormat ke Naib Presiden Argentina Marta Gabriela Michetti di Buenos Aires untuk perbincangan lanjut selepas pertemuan mereka di Kuala Lumpur pada 6 Mei.

Pada 2018, dagangan dua hala antara Malaysia dan Chile berjumlah RM1.32 bilion, kata MITI. Eksport Malaysia ke Chile berjumlah RM810 juta manakala import bernilai RM510 juta.

Lebih 60 peratus eksport ke Chile disumbangkan oleh bahan kimia dan produk kimia, produk getah, produk kayu, produk elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit.

Sebaliknya, lebih daripada 60 peratus import dari Chile terdiri dariapada bijih metalliferous dan logam skrap, makanan laut, produk segar, sejuk atau beku, produk pertanian lain serta produk kertas dan pulpa.

Sementara itu, dagangan Malaysia dengan Argentina mencecah RM5.39 bilion tahun lepas dengan eksport mencatatkan RM570 juta dan import sebanyak RM4.81 bilion.

Produk getah, produk E&E, produk petroleum, kelapa sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, peralatan dan komponen, menyumbang hampir 70 peratus eksport ke Argentina.

Barangan perkilangan yang terdiri daripada makanan haiwan dan kulit serta bahan beasaskan kulit serta bijirin menyumbang 90 peratus daripada import dari Argentina.

Bagi Brazil, dagangan dua hala pada 2018 berjumlah RM11.57 bilion, dengan eksport ke negara itu bernilai RM3.64 bilion dan import mencecah RM7.93 bilion.

Produk E&E, produk getah, bahan kimia dan produk kimia, produk keluaran berasaskan minyak kelapa sawit serta jentera, peralatan dan komponen menyumbang 77 peratus jumlah eksport ke Brazil manakala bijih metalliferous dan logam skrap, pertanian lain serta makanan proses menyumbang 82 peratus daripada import. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia