Rasuah polis: Pekerja kantin didenda RM5,000

Dua pegawai SPRM membawa Yoke Shing (tengah) selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadapnya selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada anggota polis.
Dua pegawai SPRM membawa Yoke Shing (tengah) selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadapnya selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada anggota polis.
A
A
A

KUANTAN - Padah memberi suapan RM200 kepada anggota polis, seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.

Tertuduh, Lew Yoke Shing,42, yang bekerja sebagai pekerja kantin kilang papan di Kuala Lipis, mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamed Taib.

Yoke Shing mengaku memberi suapan RM200 kepada seorang ejen kerajaan yang merupakan anggota Unit Rondaan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis, Lans Koperal Muhammad Syafiq Shamsuddin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan menahannya kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan oleh Yoke Shing di Tepi jalan KM27 Jalan Merapoh-Lipis, jam 11.30 pagi pada 8 Mei lalu.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 214 kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara tidak lebih 15 bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Mohd Ghazali memerintahkan penjara selama lima bulan, sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Tertuduh, menerusi ahli keluarganya dilihat melunaskan denda yang dijatuhi oleh mahkamah sebaik sahaja tertuduh dibawa keluar dari prosiding itu.

Sebelum itu, Yoke shing merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman denda terhadapnya memandangnya dia perlu menjaga ibunya yang tua dan menghidap penyakit jantung.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun,Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Muhamad Fadhy Mohd Zamry mahu mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

“Ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan diharap hukuman yang diberikan oleh hakim memberi pengajaran kepadanya.

“Pihak polis juga akan mengambil tindakan terhadap tertuduh bagi kesalahan Akta Dadah Berbahaya dalam masa terdekat,” katanya.