Bahasa teras kekuatan apa sahaja bidang penulisan

Johan ketika mengendalikan program Bicara Minda Sinar Harian bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Karangkraf, di Shah Alam, bulan lalu. - Foto ROSLI TALIB
Johan ketika mengendalikan program Bicara Minda Sinar Harian bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Karangkraf, di Shah Alam, bulan lalu. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Secara jujurnya, ini kali pertama saya diwawancara atau ditemu ramah sepanjang tempoh satu jam.”

Demikian kata Tokoh Wartawan Negara 2018, Tan Sri Johan Jaaffar, ketika menjawab soalan pengacara Wan Syahrina dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel.

Kesibukan bekas Pengerusi Media Prima Bhd ini ketika berada pada kemuncak kerjayanya menyebabkan beliau kesuntukan masa untuk melayan permintaan wartawan untuk ditemu bual.

Namun tiada pihak yang dapat melepaskan diri daripada soalan-soalan yang “bisa menyengat” ketika beliau mengendalikan program Isu Semasa dan Debat Perdana TV1, Soal Rakyat TV3 dan Bicara Minda Sinar Harian.

Sepanjang kerjayanya, Johan menemu bual tiga Perdana Menteri termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, hampir semua anggota Kabinet daripada era Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga kini serta hampir semua ahli parlimen dari 2005 selain tokoh pelbagai bidang.

Seingat penulis, hanya beberapa kali sahaja beliau pernah muncul dalam berita atau program sebagai orang yang ditemu bual.

Penulis sendiri hanya berkesempatan menemu bual Johan sebanyak dua kali sahaja dalam tempoh 21 tahun.

Kali pertama ialah pada 1996 ketika beliau menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan. Temu bual itu berkisar tentang industri perfileman tanah air dan disiarkan dalam program Rentak Karya terbitan Radio Televisyen Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Temu bual kedua ialah pada 2017 setelah Johan selesai membentangkan kertas kerja pada acara Pra-Kongres Budaya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Itulah sosok tokoh budaya, sastera, media dan korporat yang dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara ke-12 pada acara penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas pada 26 April lalu.

Bina asas bahasa menerusi kesusasteraan

Menjejak penglibatan beliau sebagai sasterawan dan wartawan, mengingatkan kita juga kepada beberapa sasterawan yang memulakan kerjaya sebagai wartawan. Yang paling menonjol adalah Abdul Rahim Kajai yang dianggap sebagai bapa kesusasteraan Melayu yang diabadikan namanya pada Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi HKM MPI-Petronas.

Turut berada dalam senarai wartawan-sasterawan ialah nama-nama besar yang kebanyakannya membina asas penulisan bersama-sama akhbar Utusan Melayu termasuk tiga Sasterawan Negara iaitu Keris Mas, Datuk Usman Awang dan Datuk Seri A. Samad Said.

Kini pada usia 66 tahun, nama Johan Jaaffar sudah sebaris dengan nama-nama di atas serta tokoh wartawan-sasterawan lain seperti Tan Sri A. Samad Ismail, Ahmad Boestamam, Ilias Zaidi, Zahari Affandi, Khatijah Hashim dan Zaharah Nawawi (sekadar menyebut beberapa nama).

Walaupun novel-novelnya, Warna Tinta (1976), Genta Rasa (1977) dan Laguku Untukmu (1979) jarang disebut oleh pengkritik sastera, namun karya-karya itu sudah cukup membuktikan kekuatan Johan sebagai penulis fiksyen yang baik.

Ini ditambah pula naskhah teater aliran kontemporari tulisannya seperti Angin Kering, Kotaku Oh Kotaku, Sang Puteri dan yang terbaharu, Pokok, yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) arahan U-Wei Shaari.

Johan berkata, mereka yang terlibat dalam dua genre ini mampu memanfaatkan keupayaan bahasa yang luar biasa untuk memberi satu dimensi baharu kepada dunia kewartawanan.

Apa yang disebutkannya memang jelas terpancar pada setiap tulisan beliau sendiri dalam beberapa kolum akhbar termasuk New Straits Times, Berita Harian dan The Star.

Sebagai seorang penulis, Johan sentiasa menganggap dirinya sebagai orang yang sangat pragmatis dalam soal bahasa.

Prinsip tegas beliau dalam isu bahasa ini sudah pasti bermula di DBP sejak beliau dilantik sebagai Pegawai Perancang Bahasa pada 1977.

Beliau kemudiannya menyandang jawatan Ketua Bahagian Majalah yang mengendalikan beberapa penerbitan termasuk Dewan Bahasa dan Dewan Sastera.

Selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia dan kembali ke DBP sebagai Pengerusi Lembaga Pengelolanya beberapa tahun kemudian, perjuangannya dalam bidang kebahasaan diteruskan dalam skala yang lebih luas.

Beliau bukan ahli teori, katanya, tetapi beliau selalu meletakkan bahasa sebagai teras kekuatan apa sahaja bidang penulisan termasuk sastera, kewartawanan dan laporan.

“Contoh yang selalu saya berikan adalah apabila novel atau pun karya yang terbit kadang-kadang mengetepikan sama sekali tatabahasa dan sebagainya. Bahasa cacamarba dan penggunaan kata-kata yang tidak sesuai juga berlaku dalam dunia kewartawanan.

“Jadi apabila kita bertemu dengan suatu keadaan bila mana satu ayat dalam berita itu panjangnya sampai 25-30 perkataan, bayangkan di mana subjek di mana predikat. Jadi bahasa yang indah selalunya bahasa yang tepat dan dunia kewartawanan menekankan kepada aspek ketepatan itu,” ujarnya.

Majlis Media Malaysia

Bercakap soal industri media, isu kebebasan media pasti menjadi satu perkara yang wajib disentuh. Bagi Johan, kebebasan media amat perlu tetapi biarlah realistik.

Namun menurutnya, tidak ada kebebasan mutlak di mana-mana negara di dunia dan sesiapa yang memiliki media itu juga akan merasakan keperluan untuk mengawal media.

“Tetapi kita mesti ada keyakinan bahawa kita mesti mewujudkan ruang ekosistem untuk membolehkan media itu bebas tetapi ini merupakan satu proses yang bukan sahaja menjadi satu idealisme kepada pengamal media tetapi juga kepada kerajaan,” katanya.

Isu kebebasan media ini adalah asas penting kepada penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang mula digagaskan beberapa dekad lalu.

Pengamal media memang mengharapkan penubuhan MMM dan cadangan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 disegerakan.

Harapan ini disandarkan kepada Malaysian Press Institute yang kini dilaporkan sedang menyediakan kerangka dasar bagi penubuhan MMM.

Johan, ketika mengulas mengenai penubuhan majlis itu berkata, ia seharusnya menjadi agenda industri sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

Menurut beliau, jika ia digerakkan oleh kerajaan, maka akan timbul prasangka bahawa kerajaan ingin mengawal media.

Transformasi model perniagaan

Namun apa yang juga penting difikirkan oleh pemain industri ialah melihat kembali model perniagaan agar media dapat meneruskan kelangsungannya di tengah-tengah kemunculan media baharu.

Beberapa tahun kebelakangan ini banyak syarikat media sama ada media cetak mahupun elektronik terpaksa melaksanakan pemberhentian pekerja melalui Skim Pemisahan Sukarela dan Skim Pemisahan Bersama semata-mata kerana syarikat tidak lagi mampu menanggung kos operasi yang semakin meningkat dan hasil jualan yang berkurangan.

“Dalam lebih kurang masa tiga tahun sahaja kita dapat melihat perubahan yang sangat drastik dan dramatik dalam konteks model perniagaan ini. Kalau dulu syarikat bergantung kepada iklan untuk mendapatkan hasil.

“Dalam perubahan yang berlaku ini syarikat media harus juga perlu menyesuaikan diri. Saya fikir yang kurang pada kita adalah kandungan termasuk kandungan berita. Bagi membolehkan berita bersaing dengan hiburan dan media sosial, berita haruslah melalui transformasi agar ia juga mampu menjadi seperti kandungan hiburan kerana hiburan dan berita adalah perniagaan,” katanya. - Bernama