PIBG bantu kurangkan bebanan guru

x-default
x-default
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Setiawangsa, Amiruddin Sahudi berkata, fungsi PIBG membantu dan tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran sekolah.

Menurutnya, PIBG fokus kepada empat teras untuk membantu sekolah iaitu infrastruktur, sukan dan ko-kurikulum, sahsiah disiplin dan akademik.

"Jadi, tugas PIBG untuk timbulkan kesedaran kepada ibu bapa mengenai sumbangan mereka kepada sekolah.

"Ramai ibu bapa jadikan sekolah seperti nurseri dan banyak menyalahkan cikgu jika anak tak pandai. Bila kita serahkan semuanya kepada guru, harapan terhadap guru terlalu banyak," katanya sebagai panel pada Wacana Sinar Harian ke-109 yang berlangsung di Dewan Karangkraf, Shah Alam semalam membincangkan tajuk Cikgu Terbeban Realiti Dunia Pendidikan?

Menurutnya, guru-guru perlu mengejar silibus dan dalam masa sama perlu melakukan tugas pengkeranian dan pentadbiran.

Sebagai PIBG, kami cuba membantu semampu yang boleh.

"Di luar sekolah, di sinilah PIBG main peranan dengan menubuhkan kumpulan sokongan ibu bapa. Ramai ibu bapa nak membantu mengurangkan beban guru tetapi kami kena ikut peraturan juga.

"Sebenarnya, sekolah dan PIBG berpisah tiada. Tetapi, masih ada pengetua dan guru besar yang bersikap pintu tertutup. Di situlah kekangan kami untuk membantu. Kalau bukan kita nak bantu sekolah, siapa lagi? Tetapi dalam masa sama sekolah kena ubah mentaliti juga kalau PIBG nak bantu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bercakap mengenai polisi dan dasar pendidikan pula, ia cantik di atas kertas. Tetapi kekangannya timbul pada implementasi.

"Ibu bapa sekarang kalau ambil kad laporan anak-anak akan tengok berapa A, nombor berapa dalam kelas. Maknanya, mentaliti ibu bapa lebih kepada akademik.

"Kita nak ubah mentaliti itu kerana kejayaan bukan diukur bukan dari segi akademik saja. Selepas ini, ibu bapa kena tanya kepada cikgu anaknya tahap berapa, bukan nombor berapa dalam kelas. Ibu bapa juga perlu main peranan dengan ambil berat pelajaran anak-anak di rumah," katanya lagi.

Tambahnya, sistem pendidikan kita sebenarnya dah bagus, cuma kadang-kadang ada kecairan di tengah-tengah. Kalau kita masih tak tukar mentaliti, sampai ke sudah kita susah nak berubah.