Tiada rombakan Kabinet Sabah setakat ini: Mohd Shafie

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menegaskan tiada rombakan kabinet negeri.

Menurut beliau hanya pengisian jawatan menteri yang kosong akan diisi.

"Saya akan buat pengumuman dan saya akan lihat sehingga esok, kalau dapat saya akan buat pengumuman yang perlu untuk itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk dan kunjungan mesra Bazar Ramadan di Lintasan Deasoka di sini, hari ini.

Pada masa ini, jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat masih belum diisi yang kosong selepas kematian Pengerusi DAP Sabah mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Mohd Shafie berkata pelantikan ke kabinet negeri akan diisi esok dan beliau akan buat pengumuman.

Mengenai isu anggota cawangan khas (SB) dilarang hadir pada acara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sidang media kementerian kerajaan negeri, Mohd Shafie berkata beliau telah membangkitkan perkara ini di mesyuarat kabinet bahawa tiada peraturan yang telah diputuskan oleh kerajaan negeri untuk halang mana-mana pihak hadir dalam sidang akhbar yang dilakukan oleh Ketua Menteri dan menteri kabinet.

"Tiada standard pengumuman mengenai prosedur ini. Kalau pun ada keputusan itu tidak benar sebab ia bukan datang dari saya atau kerajaan negeri Sabah.

"SB boleh datang bila-bila masa untuk dengar apa yang kita ucapkan dan kenyataan yang kita buat. Buat apa kita mahu halang sebab ia juga akan disiarkan, esok bila media laporkan dalam akhbar semua orang pun tahu," kata Mohd Shafie. - Bernama

Artikel Berkaitan: