40 peratus pembedahan elektif Hospital Selayang dijadualkan semula

A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 40 peratus pembedahan elektif terpaksa dibuat penjadualan semula ekoran gangguan teknikal di dalam mengakses kepada data pesakit sedia ada di Hospital Selayang yang telah berlarutan sejak dua minggu lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini berkata pembedahan elektif berkenaan terpaksa dibuat penjadualan semula kerana memerlukan sejarah laporan patologi kajian tisu, khususnya bagi kes-kes kanser.

“Selain itu, peratus penjadualan semula bagi temujanji klinik pakar berjaya dikurangkan daripada 15 peratus yang direkodkan pada 6 Mei kepada tiada penjadualan semula sehingga hari ini,” kata kenyataan itu.

Gangguan aplikasi Hospital Information System (HIS) Hospital Selayang berlarutan sejak 4 Mei, menjadi rungutan pesakit hingga melewatkan mereka dalam tempoh perawatan dan daftar masuk.

Rentetan itu, perkhidmatan Pesakit Dalam, Jabatan Kecemasan dan Pembedahan Kecemasan telah dijalankan secara manual.

Menurut kenyataan itu lagi, Bahagian Pengurusan Maklumat KKM bersama Hospital Selayang telah mula mengambil langkah-langkah pemulihan secara sepenuh masa bermula dari tarikh gangguan itu.

KKM turut memberi jaminan Sistem HIS Hospital Selayang dijangka akan dapat beroperasi sepenuhnya seperti biasa pada 30 Mei ini.

“Bahagian Pengurusan Maklumat KKM bersama Hospital Selayang sedang dan akan terus memantau semua aktiviti pemulihan yang dijalankan sehingga selesai dan aplikasi HIS berfungsi seperti biasa.

“Jadi para pesakit diharap memahami situasi ini dan dapat memberi kerjasama kepada pihak hospital dan kakitangan,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia