Filipina panggil pulang duta ke Kanada ekoran isu sampah

Aktivis alam sekitar Filipina mendesak Kanada mengambil semula sampah yang dihantar ke negara itu beberapa tahun lalu. - Foto AFP
Aktivis alam sekitar Filipina mendesak Kanada mengambil semula sampah yang dihantar ke negara itu beberapa tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

MANILA - Kerajaan Filipina dilaporkan memanggil pulang dutanya ke Kanada pada saat ketegangan diplomatik berhubung penghantaran sampah Kanada ke negara Asia Tenggara itu semakin memuncak, kata Menteri Luar Manila.

Hubungan kedua-dua negara merosot ekoran kes sebuah syarikat Kanada menghantar 100 kontena berisi sampah yang dilabel sebagai bahan kitar semula ke pelabuhan Filipina pada tahun 2013 dan 2014.

Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin berkata, surat memanggil pulang duta dan konsul ke Kanada telah dihantar dan para diplomat dijangka pulang dalam masa beberapa hari lagi.

“Kanada gagal menepati tarikh akhir 15 Mei yang ditetapkan oleh Filipina dan kami akan mengurangkan kehadiran diplomatik di negara itu selagi sampah berkenaan tidak dituntut,” kata Locsin di laman Twitter.

Kementerian Luar Kanada bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Terdahulu, Manila menetapkan tempoh sehingga semalam untuk Kanada mengambil semula sampah berkenaan selepas Presiden Rodrigo Duterte menempelak Ottawa berhubung isu tersebut bulan lalu.

Kanada berkata, ia sedang menguruskan pengambilan semula sampah tersebut namun sedikit masa diperlukan untuk menyiapkan dokumentasi.

Sejumlah 69 kontena sampah dilaporkan masih berada di Filipina selepas isi 34 kontena yang lain dilupuskan.

Artikel Berkaitan:

Isu sampah tersebut mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara yang sedia ada retak apabila Perdana Menteri Kanada, Justin Trudea mempersoalkan kempen antidadah Duterte yang disifatkannya sebagai kejam. - AFP