Tergamak pukul ibu dengan bakul kain, payung

Gambar kecil: Noorzainy
Gambar kecil: Noorzainy
A
A
A

TASEK GELUGOR - Seorang lelaki ditahan polis selepas dia dikatakan menyerang ibu kandungnya sendiri di Kampung Selamat di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 33 tahun itu dikatakan menyerang ibunya yang berusia 64 tahun dengan membaling bakul kain selain mukul mangsa dengan payung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bapa saudaranya yang melihat kejadian itu bergegas datang untuk meleraikan namun lelaki berusia 56 tahun itu turut dipukul oleh suspek dengan menggunakan topi keledar.

"Suspek juga telah memukul bapa saudaranya dengan menggunakan sebuah topi keledar kerana mempertahankan kakaknya dari dipukul oleh suspek.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati punca kejadian disebabkan suspek berada dibawah pengaruh dadah dan sering mengamuk," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami bengkak pada pipi kiri dan bahagian belakang badan sementara bapa saudaranya suspek mengalami luka kecil di tangan sebelah kiri.

Katanya, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis telah merampas bakul baju, sebatang payung dan topi keledar yang digunakan oleh suspek untuk memukul ibu kandung dan bapa saudaranya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga dapati saspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan suspek kini direman untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.