PGA sedia hadapi ancaman tonto

Khaled (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Op Wawasan antara Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan Batalion 9 Kuala Terengganu di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol.
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa bersiap sedia untuk berdepan sebarang ancaman tonto dalam melaksanakan penugasan Op Wawasan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia - Thailand bermula dari Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Khaled Che Lah berkata, kesemua anggotanya sudah diberikan latihan secukupnya untuk berdepan sebarang ancaman sepanjang menjalankan tugas.

"Walaupun belum pernah berdepan dengan ancaman itu di kawasan operasi Pengkalan Kubur ke Rantau Panjang namun kita sentiasa berwaspada.

"Saya turut ingatkan anggota supaya ketika melaksanakan operasi supaya mengikut lunas-lunas peraturan yang telah ditetapkan termasuklah berdepan tonto," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Op Wawasan antara Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan Batalion 9 Kuala Terengganu di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintandan Ramly Poncho; Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintandan Muhammad Shamsuddin dan Pegawai Pemerintah Batalion 7 Kuantan, Superitanden Azhari Nusi.

Menurutnya, jika anggota PGA berdepan ancaman ketika mengendalikan kes tonto mereka boleh mempertahankan diri dan kebanyakan kes sebelum ini membabitkan soal keselamatan anggota yang bertugas.