Tapir sesat di kawasan perumahan

Tapir yang berkeliaran di kawasan perumahan di Pertang tengah hari kelmarin.
A
A

JELEBU- Seekor tapir tiba-tiba muncul di sebuah perumahan dekat Simpang Pertang di sini semalam sehingga mengejutkan penduduk setempat.

Menurut penduduk kampung itu, Pang, 50-an, tapir tersebut ditemui berkeliaran di kawasan perumahan sekitar jam 12 tengah hari.

"Haiwan ini dipercayai keluar daripada kawasan hutan berdekatan dan kami percaya haiwan ini sesat sehingga ke perkampungan dekat sini.

"Kawasan kampung ini memang berdekatan dengan hutan maka tidak mustahil haiwan seperti itu boleh sesat ke sini," katanya.

Menurutnya, sekitar Februari lalu kampung ini pernah digemparkan dengan kehadiran harimau yang membaham kambing. Bagaimanapun kes itu berjaya diselesaikan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri setelah memasang perangkap.

Terdahulu tular video berdurasi 47 saat di laman sosial yang memaparkan seekor tapir berlari di kawasan perumahan di Pertang.

Terdapat penduduk yang menunggang motosikal bertindak menghalaunya semula ke hutan.

Tindakan itu dipercayai bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku terhadap haiwan itu dan juga penduduk.