Tiga budak mandi sungai terperangkap akibat kepala air

Operasi menyelamatkan kanak-kanak terperangkap di Sungai Liwagu susulan kepala air di Kampung Puru-Puru, Ranau.
Operasi menyelamatkan kanak-kanak terperangkap di Sungai Liwagu susulan kepala air di Kampung Puru-Puru, Ranau.
A
A
A

RANAU - Tiga kanak-kanak terperangkap di Sungai Liwagu selama setengah jam akibat kejadian kepala air di Kampung Puru-Puru, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, tiga kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terbabit berjaya diselamatkan dengan bantuan sepasukan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.59 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh dua kilometer dari BBP Ranau.

"Menurut maklumat, tiga kanak-kanak tersebut sedang mandi namun tidak menyedari kehadiran kepala air dipercayai datang dari hulu sungai menyebabkan mereka terperangkap di sungai berkenaan.

"Penduduk kampung yang menyedari kanak-kanak tersebut terperangkap segera mendapatkan bantuan daripada pihak bomba sebelum operasi penyelamatan dilakukan.

"Pasukan bomba bertindak menyelamatkan kana-kanak tersebut dengan menggunakan tali untuk memindahkan mereka ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, operasi ditamatkan pada jam 3.35 petang selepas memastikan semua kanak-kanak dan lokasi dalam keadaan selamat.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!