Terengganu jenamakan Kampung Cina kepada China Town

Razali Idris (depan, enam dari kiri) bersama sebahagian komuniti Cina Peranakan Terengganu sempena majlis perasmian Pesta Cina Peranakan Terengganu 2023 di KTCC.
Razali Idris (depan, enam dari kiri) bersama sebahagian komuniti Cina Peranakan Terengganu sempena majlis perasmian Pesta Cina Peranakan Terengganu 2023 di KTCC.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu merancang untuk menjenamakan semula Kampung Cina kepada 'China Town' bagi menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan terkenal di peringkat antarabangsa.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, cadangan itu bukan sahaja mengubah wajah lokasi berkenaan malah memberi limpahan manfaat kepada penduduk tempatan khususnya penggiat industri pelancongan.

Menurutnya, buat masa ini sesi libat urus antara kerajaan negeri dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti berkenaan sedang berjalan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

"Kita merancang untuk jenamakan semula Kampung Cina kepada 'China Town' kerana ia bersifat antarabangsa selain mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

"China Town ini sudah wujud di banyak lokasi pelancongan terkenal seluruh dunia.

"Ia merupakan satu jenama yang kuat dalam memperkenalkan budaya, seni serta keunikan masyarakat Cina Peranakan di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razali berkata, penjenamaan semula perlu dilakukan kerana Cina Peranakan Terengganu mempunyai keunikan tersendiri.

Jelasnya, golongan tersebut tidak sama dengan komuniti Cina di tempat lain dari segi pemakaian, pemakanan, bahasa dan pergaulan dengan masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan mewujudkan dua lagi lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) pada tahun depan iaitu di Kampung Fikri, Setiu dan Kampung Tiruk, Marang untuk memperkenalkan lagi komuniti tersebut kepada pelancong luar.

"Cina Peranakan yang ada di dua kampung itu juga perlu diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu negeri.

"Ini kerana mereka juga mempunyai keunikan budaya yang istimewa dan perlu ditonjolkan kepada pelancong dalam dan luar negara," ulasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!