1MDB: PDRM sedia terima Roger Ng untuk diambil keterangan

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kanan: Razarudin
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kanan: Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan kesediaan menerima bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa untuk siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain PDRM, setakat ini keterangan Roger berkemungkinan diperlukan agensi penguat kuasa lain.

"Pihak polis sentiasa bersedia sekiranya dia (Roger) diserahkan kepada PDRM untuk diambil keterangan, namun kita tidak tahu dia akan diserahkan kepada agensi penguat kuasa mana dahulu.

“Walaupun kertas siasatan terhadap bekas pegawai bank itu telah hampir dilengkapkan, kita sedia terima jika dia diserahkan kepada PDRM," katanya pada Sabtu.

Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, Roger Ng dijangka tiba di Malaysia tengah malam ini bagi membantu proses siasatan berkaitan skandal 1MDB.

Beliau dilaporkan berkata, tempoh berapa lama Roger akan berada di Malaysia adalah bergantung kepada proses siasatan.

Roger Ng dihantar balik ke Malaysia bagi tujuan pihak berkuasa di Malaysia meneruskan siasatan mengenai 1MDB atau Goldman Sachs.

Sebelum itu, Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn, telah mengarahkan Roger Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana kekayaan 1MDB akan diserahkan kepada Malaysia.