Stok beras cukup tampung keperluan sehingga lima bulan - Mohamad

Mohamad ketika sesi penerangan menteri berkenaan isu beras pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Mohamad ketika sesi penerangan menteri berkenaan isu beras pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah stok beras bagi menampung keperluan dalam negara ketika ini adalah mencukupi bagi tempoh empat hingga lima bulan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ia berdasarkan stok bekalan beras yang direkodkan sehingga 3 Oktober lepas iaitu sebanyak 820,482 tan metrik merangkumi 250,000 tan metrik stok penimbal kerajaan dan 570,482 tan metrik stok dagangan.

Menurutnya, sehingga 7 Oktober lepas sebanyak 708,978 kampit beras putih tempatan (BPT) 10 kilogram (kg) telah diedarkan di seluruh Semenanjung melalui rantaian peruncit seperti pasar raya, rantaian premis serta outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Ia meliputi pasar raya sebanyak 423,816 kampit (60 peratus), FAMA 109,829 kampit (16 peratus), LPP iaitu 60,240 kampit (9 peratus) dan sebanyak 103 pemborong edaran runcit iaitu 115,093 kampit (16.2 peratus).

"Ini menggambarkan FAMA dan LPP hanya diberi peranan dalam tempoh intervensi manakala pasar raya dan pemborong, peruncit terus diberi peranan utama memasarkan BPT di pasaran.

"Program ini dilaksanakan bagi tempoh setahun bagi memastikan bekalan BPT stabil, cukup dan terjamin,” katanya pada sesi penerangan menteri mengenai isu BPT di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Sementara itu, Mohamad berkata, kenaikan harga beras putih import (BPI) di pasaran dunia secara mendadak berlaku disebabkan larangan eksport oleh India mulai Julai 2023 yang merupakan penyumbang lebih 40 peratus daripada eksport beras dunia pada tahun lepas.

Katanya, sehingga kini sebanyak 19 negara telah membataskan eksport ke luar negara untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri menyebabkan masalah kenaikan harga bahan komoditi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga negara serantau.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini harga pasaran beras antarabangsa juga melonjak berikutan pandemik Covid-19, krisis Rusia-Ukraine dan kesan fenomena cuaca El Nino ke atas tahap pengeluaran padi global.

"Harga beras putih global mencatatkan peningkatan sebanyak 63 peratus dalam tempoh setahun, iaitu daripada AS$400 per tan metrik pada Ogos 2022 kepada AS$650 per tan metrik pada Ogos 2023. Trend kenaikan ini dijangka akan berterusan sehingga penghujung 2023,” katanya.

Berikutan itu katanya, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) mengumumkan pelarasan harga jualan BPI di pintu gudang BERNAS di seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuat kuasa 1 September lepas, sejajar dengan harga terkini BPI di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, sekiranya kenaikan harga BPI berterusan tanpa pelarasan harga jualan dilaksanakan, BERNAS akan mengalami kerugian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Selain itu, Mohamad berkata, BERNAS juga dijangka akan hilang kemampuan untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersih pengimportan dengan pesawah sehingga membawa implikasi negatif kepada kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, harga jualan BPI akan diselaraskan oleh BERNAS dari semasa ke semasa tertakluk kepada harga pasaran beras global (harga freight on board - FOB) dan kadar nilai tukaran mata wang.

Selain itu, beliau turut memaklumkan agenda keterjaminan makanan negara terus menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2024 akan datang.

Katanya, usaha itu adalah bagi memastikan pembangunan sistem makanan yang cekap dan berdaya tahan serta berpotensi meningkatkan pendapatan pengeluar makanan di sepanjang rantaian makanan. - Bernama