Rakyat Terengganu diminta bermunajat, hulur sumbangan bantu rakyat Palestin

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rakyat negeri ini disaran untuk melaksanakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara Islam di bumi Palestin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap umat Islam bertanggungjawab mendoakan kesejahteraan umat Islam termasuk para pejuang yang kini berusaha membebaskan Palestin dari cengkaman rejim Israel.

"Kita semua bertanggungjawab untuk mendoakan kesejahteraan terhadap sahabat-sahabat, rakan-rakan dan saudara mara seislam yang berada di Palestin termasuklah pejuang-pejuang yang memainkan peranan sangat besar untuk membebaskan Palestin.

"Saya difahamkan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan untuk menyalurkan derma kepada saudara kita disana.

"Saya harap semua pihak 'feel free' (tidak teragak-agak) untuk menyumbang mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri menerusi ruangan Facebook rasminya memuat naik hantaran menyeru rakyat negeri ini melalukan bermunajat unuk rakyat Palestin.

"Saudaraku di bumi Malaysia, pasukan Hamas dan Jihad Islami telah melancarkan serangan menentang kezaliman Israel dalam Operasi Taufan Al-Aqsa.

Artikel Berkaitan:

"Marilah sama-sama kita berdoa bersungguh-sungguh, bermunajat dan menunaikan solat hajat buat saudara-saudara Islam kita di bumi Gaza yang kini sedang berjuang mengambil kembali tanah air mereka, Palestin daripada rejim Israel.

"Buktikan solidariti kita walau dari jauh. Al-Quds milik umat Islam," ujarnya.

Sebelum ini, tentera Israel telah bertindak balas dengan melakukan serangan udara ke atas Gaza yang dikawal oleh Hamas.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, kejadian itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 313 rakyat Palestin terbunuh.