Boost perkenal Beyond Card

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENERAJU teknologi kewangan serantau, Boost memperkenalkan Beyond Card yang merupakan kad antarabangsa dua dalam satu pertama di Malaysia membolehkan pelanggan mengakses dana daripada baki Boost wallet serta menggunakan talian kredit prakelulusan.

Boost dalam satu kenyataan berkata, kad inovatif itu merupakan kerjasama dengan CelcomDigi melalui rangkaian Mastercard dan ia menjadi kad pertama di Malaysia dengan fungsi unik yang diterima secara meluas di seluruh rangkaian lebih 100 juta peniaga Mastercard di seluruh dunia.

“Pelanggan terpilih boleh memohon kad berkenaan mulai 9 Oktober ini dengan pengguna Celcom menikmati akses untuk mengemukakan permohonan menerusi aplikasi Boost, diikuti pengguna Digi dalam masa terdekat.

“Kad itu juga yang dikenali sebagai Beyond Card oleh CelcomDigi dan Boost menawarkan pembayaran fleksibel patuh Shariah menerusi kemudahan kredit dengan cara lebih bertanggungjawab, menggunakan teknik pemarkahan mantap bagi memastikan pelanggan yang ditawarkan talian kredit memiliki keupayaan untuk pembayaran balik,” jelas kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pelancaran produk itu merupakan gabungan kejayaan inovasi kewangan inklusif, ditambah dengan nilai sinergi yang dimiliki oleh dua syarikat utama Malaysia dalam Kumpulan Axiata.

“Ia juga mengukuhkan lagi perkongsian kami dengan Mastercard yang dijalin di bawah objektif bersama untuk membawa inovasi baharu kepada landskap kewangan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi,T Kugan berkata, syarikat kekal komited untuk bekerjasama dengan peneraju industri dan memacu inovasi digital merentasi ekosistem digital Malaysia, seterusnya menyokong agenda digital negara.

Tiada sebarang yuran dikenakan untuk transaksi tempatan dan pemotongan terus dilakukan menerusi Beyond Card.

Artikel Berkaitan:

Setiap transaksi dilindungi kata laluan, dan pembekuan kad segera boleh dilakukan jika berlaku kecemasan.

Untuk memohon Beyond Card, pelanggan Celcom yang layak boleh memuat turun aplikasi Boost dan mencipta akaun Premium Wallet secara percuma.

Bagi pengguna luar talian, permintaan kad fizikal tersedia di laman Beyond Card, dengan caj RM20 dikenakan meliputi caj penghantaran dan SST.

Sebagai pertukaran untuk aplikasi kad fizikal lengkap, pengguna dapat menebus ganjaran bernilai RM100, daripada Lazada, Agoda, Gong Cha, Google Play Store, Viu serta The Alley.