KPDN jalankan siasatan terperinci dakwaan beras plastik

Armizan
Armizan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan penjualan beras plastik di sebuah premis di Sabah.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai insiden yang berlaku dan mengarahkan penyiasatan dilakukan serta-merta oleh KPDN Cawangan Sandakan.

"Siasatan sedang dilakukan oleh KPDN cawangan tersebut bersama dengan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras.

"Setakat ini siasatan dibuka menggunakan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011. Lawatan telah dilakukan di premis terlibat, manakala maklumat tambahan juga sedang diperoleh daripada pengadu yang telah memviralkan video tersebut selain menyemak invois daripada peruncit dan juga pembekal," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Amanat dan Penyerahan Surat Pelantikan Pegawai Lantikan Secara Kontrak Jurutera dan Penolong Jurutera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.

Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang lelaki mendakwa salah satu jenis beras yang dijual di sebuah premis adalah plastik.
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang lelaki mendakwa salah satu jenis beras yang dijual di sebuah premis adalah plastik.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu video tular di media sosial berhubung dakwaan penjualan beras diperbuat daripada plastik di salah sebuah premis di negeri ini.

Tambah Armizan, tindakan menyiasat dakwaan itu penting dan perlu dilakukan dengan teliti kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan juga isu kesihatan.

"Namun pada peringkat ini kita perlu meneliti kesahihan dakwaan itu dan mendapatkan bukti-bukti berkaitan. Saya memberi jaminan bahawa KPDN selaku agensi yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan penguatkuasaan khususnya dalam dua akta berkaitan iaitu Akta Perihal Dagangan 2011 dan juga Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya berlaku, kita akan pastikan siasatan itu akan kita gerakkan secara agresif, kita cari sampai lubang cacing kerana ini melibatkan kepentingan rakyat," tegasnya.