Waspada scammer tawar skim pelaburan untung lumayan

Ramli Mohamed Yoosuf
Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis belum menerima laporan berkaitan dakwaan sindiket penipuan menyamar dan menggunakan logo Lembaga Tabung Haji (TH) serta menawarkan skim pelaburan di aplikasi Telegram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah melakukan semakan dan mendapati setakat ini tiada sebarang laporan polis yang diterima berkaitan skim pelaburan tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada agar tidak terjerat dengan taktik scammer yang menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Taktik menggunakan Telegram untuk mencari mangsa skim pelaburan bukanlah modus operandi baharu, sindiket berkenaan menggunakan nama syarikat terkenal (TH) untuk menarik perhatian mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin media melaporkan, TH dalam satu kenyataan memaklumkan, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyamar dan menggunakan logo TH serta menawarkan skim pelaburan di platform tersebut.

Jelas kenyataan itu, scammer tersebut turut menubuhkan kumpulan Telegram untuk melakukan kegiatan pelaburan dengan menjanjikan keuntungan yang tidak munasabah.

TH menasihatkan supaya pendeposit mahupun orang ramai untuk tidak percaya dengan tawaran dari pihak ketiga.