Jawi saran masjid, surau laksana solat hajat untuk rakyat Palestin

Penduduk Palestin memeriksa runtuhan rumah mereka yang musnah akibat serangan udara Israel berhampiran Menara Al-Watan di bandar Gaza. - Foto EPA
Penduduk Palestin memeriksa runtuhan rumah mereka yang musnah akibat serangan udara Israel berhampiran Menara Al-Watan di bandar Gaza. - Foto EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan melaksanakan solat hajat selepas solat Isyak malam ini serta bacaan qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan serta keselamatan rakyat Palestin.

Jawi dalam satu kenyataan turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak bertanggungjawab dan kezaliman berterusan yang hanya mengakibatkan kemusnahan harta benda serta kehilangan banyak nyawa.

"Sesungguhnya doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk keamanan rakyat Palestin," kata jabatan itu dalam kenyataan tersebut pada Isnin.

Pada Sabtu, lebih 160 rakyat Palestin terbunuh manakala 931 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza.

Konflik Israel-Palestin menjadi semakin tegang apabila tentera Israel membalas serangan mengejut Hamas dengan melancarkan serangan terhadap beberapa kawasan di bumi Gaza termasuk menyasarkan bangunan penempatan rakyat Palestin dan hospital.

Artikel Berkaitan: