Serah pimpinan DAP isu polisi tidak terima penganugerahan pingat - Foong Hin

Foong Hin ketika ditemui pemberita selepas meninjau harga beras putih import di Kota Kinabalu.
Foong Hin ketika ditemui pemberita selepas meninjau harga beras putih import di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Biro Dasar DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan berhubung tindakan terhadapnya mengenai isu polisi parti yang tidak menerima sebarang penganugerahan darjah kebesaran kepada ahli DAP.

Foong Hin yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkata, beliau sedia maklum dengan polisi parti itu yang dilaksanakan sejak 2018.

"Untuk penganugerahan gelaran Datuk pagi ini, saya memang menyedari sepenuhnya tentang polisi parti yang tidak berubah sejak 2018 tentang ahli DAP melibatkan penganugerahan pingat.

"Mengikut polisi semasa parti, bersara daripada parti baru boleh terima penganugerahan pingat. Tetapi saya terima panggilan telefon daripada kerajaan negeri pada Khamis lalu. Kita dimaklumkan raptai semalam dan penganugerahannya hari ini.

"Ini sesuatu yang sukar untuk saya menolaknya sebab saya adalah rakyat Sabah dan pingat ini diberikan oleh kerajaan Sabah. Sekarang segala keputusan saya serahkan kepada parti untuk isu ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga beras putih import yang baharu di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian ketika ditanya mengenai polisi DAP berkenaan yang tidak membenarkan ahlinya menerima penganugerahan pingat.

Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu sebelum itu telah dianugerahkan darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Lahir Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada pagi Sabtu.

Selain Foong Hin, seorang lagi pemimpin DAP negeri ini yang turut menerima darjah kebesaran sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis penganugerahan itu, seramai 88 individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah termasuk Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.