Jakim tidak terima laporan mengenai 'Projek Cinta'

Mohd Naim
Mohd Naim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak menerima laporan mengenai dakwaan terdapat usaha sulit menukar agama golongan tertentu di negara ini yang dikenali sebagai ‘Projek Cinta’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang boleh mencetuskan fitnah, permusuhan dan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama di Malaysia.

"Dalam Islam, sebarang paksaan terhadap orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam adalah tidak dibenarkan sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai kebenaran pendedahan Mariam Mokthar baru-baru ini mengenai kewujudan usaha sulit menukar agama tertentu di Malaysia yang dijenamakan sebagai ‘Projek Cinta’ dan pendirian kerajaan tentang usaha tersebut.

Mohd Na'im menegaskan kebebasan beragama adalah dijamin seperti termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

Namun, katanya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni di Malaysia.

Tular video di media sosial yang mendakwa satu jabatan kerajaan menyasarkan masyarakat pelbagai peringkat termasuk pelajar sekolah dan Orang Asli untuk menukar agama mereka kepada Islam. - Bernama