[KIRAAN SEMASA] PRN Melaka: Bersama, Bersatu, Putra dan calon Bebas tewas semua kerusi

Bersama, Bersatu, Putra dan calon Bebas gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRN Melaka Ke-16 berdasarkan keputusan semasa tidak rasmi. - Foto fail Bernama
Bersama, Bersatu, Putra dan calon Bebas gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRN Melaka Ke-16 berdasarkan keputusan semasa tidak rasmi. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Bersama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta calon Bebas gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berdasarkan kiraan semasa tidak rasmi setakat ini.

Bersama yang bertanding di 16 kerusi, Bersatu di tujuh kerusi serta tiga calon Bebas dilaporkan tewas di semua kawasan yang ditandingi.

Nasib sama turut menimpa Putra yang meletakkan calon tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek apabila gagal memenangi kerusi berkenaan.

Secara keseluruhan, keempat-empat parti dan calon Bebas itu bertanding di 27 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Melaka kali ini.

Keputusan semasa menunjukkan tiada satu pun daripada 27 kerusi berkenaan berjaya dimenangi oleh Bersama, Bersatu, Putra mahupun calon Bebas.

Sebelum ini, sebanyak 31 pusat mengundi awal bagi PRN Melaka Ke-16 dibuka tepat jam 8 pagi pada Selasa bagi membolehkan 12,531 anggota pasukan keselamatan bersama pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah itu membabitkan 9,769 anggota tentera bersama pasangan serta 2,762 anggota polis.

Empat pusat mengundi awal bagi anggota tentera melibatkan 2,850 pengundi di SK Kem Terendak 1, diikuti 2,660 pengundi di SK Terendak 2, 2,189 pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak dan 1,584 pengundi di Dewan Kem Sungai Udang Ramli.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!