Malaysia tunggu kelulusan eksport durian segar ke China

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

ALOR GAJAH - Jabatan Pertanian sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi mengeksport durian segar ke negara berkenaan yang dijangka diperoleh pada tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Jabatan Pertanian, Nor Sam Alwi berkata, setakat ini, Malaysia hanya diberi lesen untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji, ulas dan pes ke China berbanding Thailand dan Vietnam yang telah mendapat kelulusan mengeksport durian segar ke negara berkenaan.

Beliau berkata, kebenaran berkenaan diharap diperoleh pada tahun hadapan sempena ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China sekali gus meningkatkan nilai eksport durian ke negara tersebut.

"China merupakan pasaran terbesar negara untuk eksport durian kerana rakyat negara berkenaan memang menggemarinya dan pengeksport utama raja buah berkenaan ke sana ialah Thailand, jadi kita akan cuba menembusi pasaran republik itu dengan mengeksport buah durian segar.

"Di sana, antara baka durian yang mendapat permintaan tinggi ialah musang king dan Malaysia memang fokus terhadap tanaman musang king untuk tujuan eksport dengan hampir 50 peratus daripada keseluruhan tanaman durian di negara ini ialah musang king," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas program lawatan GACC ke Kafu Group Durian Eco Farm yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kafu Group, Datuk Wong Chong Lin.

Nor Sam berkata, pengusaha tanaman durian di negara ini turut disaran bersiap sedia dalam pelbagai aspek bagi memastikan mereka berpeluang mengeksport durian segar ke China sekali gus meningkatkan nilai dan pasaran eksport masing-masing.

Mengenai lawatan GACC ke ladang durian berkenaan, beliau berkata, ia bertujuan melihat secara dekat pengurusan ladang durian berkenaan termasuk aspek pengawalan haiwan perosak dan penyakit serta pengendalian selepas tuai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Chong Lin berkata, pihaknya bersedia memastikan segala aspek dan pematuhan yang ditetapkan untuk mengeksport durian segar ke China sekiranya diberi peluang dan mendapat lesen daripada GACC.

Beliau berkata, ketika ini, ladang durian di bawah Kafu Group telah mendapat kuota mengeksport kira-kira 1,000 tan metrik setahun ke China dalam bentuk durian sejuk beku dan jumlah kuota berkenaan dijangka meningkat sekiranya mendapat kebenaran mengeksport durian segar. - Bernama