Sharul Aimy buru slot Olimpik Paris 2024

Sharul Aimy menunjukkan pingat pada sesi temu bual khas bersama pemberita, malam Jumaat. - Foto Bernama
Sharul Aimy menunjukkan pingat pada sesi temu bual khas bersama pemberita, malam Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS merangkul pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022, atlet gimnastik negara Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam kini mengalihkan tumpuan untuk ‘memburu’ mata kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 22 tahun dari Terengganu itu berkata, beliau akan menyertai empat kejohanan Piala Dunia Gimnastik Artistik berturut-turut iaitu di Cairo (Mesir), Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan) bermula Januari hingga Mac depan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Sharul Aimy memaklumkan penting baginya menaiki keempat-empat podium di kejohanan berkenaan untuk mencerahkan peluangnya membuat kemunculan sulung pada pentas berprestij empat tahun sekali itu.

"Saya memang tiada cuti selepas Sukan Asia dan terus fokus latihan Piala Dunia tahun hadapan. Kejohanan itu sangat penting sebab ini peluang terakhir untuk saya layak ke Sukan Olimpik dan jika terlepas saya terpaksa tunggu edisi seterusnya.

"Saya diberitahu Majlis Sukan Negara hanya akan menghantar sertai dua kejohanan Piala Dunia namun saya sanggup keluarkan duit sendiri untuk ke dua kejohanan lain,” katanya pada sesi temu bual khas bersama pemberita, malam Jumaat.

Sharul Aimy kini giat melakukan latihan bersama jurulatih Ng Shu Liang bagi meningkatkan tahap kesukaran daripada 5.2 kepada 5.6 dalam rutin melombol kerana bakal berhadapan dengan pesaing hebat dari negara lain.

Namun beliau mengakui bukan mudah apabila masih mendapatkan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) untuk kecederaan buku lali kanan yang dihadapi semasa latihan ke Sukan Asia Hangzhou 2022.

"Sepatutnya kesukaran (darjah) itu saya telah lakukan di Hangzhou, namun disebabkan kecederaan yang dialami saya tidak dapat teruskannya. Sekarang (kecederaan) beransur baik, namun masih perlu pergi ke ISN dan dalam masa sama sedang berlatih tingkat kesukaran iaitu lakukan double front half iaitu mendarat menghadap belah lain,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sharul Aimy bagaimanapun enggan menjadikan kecederaan itu sebagai alasan untuk turun beraksi di kejohanan Piala Dunia apabila pernah berhadapan momen lebih teruk iaitu patah kaki kiri pada 2019.

Mengimbas kembali detik hitam itu, beliau berkata hampir putus asa daripada meneruskan kerjaya dalam bidang ini namun kembali bangkit dengan sokongan keluarga serta insan sekeliling.

"Semasa patah kaki itu saya baru naik pasukan senior dan dalam persiapan ke Sukan SEA Filipina 2019 namun tersalah mendarat masa latihan. Memang masih fobia namun saya jenis memang redah sebab kena buat bila sudah bergelar atlet,” katanya.

Pada 29 September lepas, Sharul Aimy menamatkan kemarau selama 17 tahun negara tanpa sebarang pingat dalam sukan tersebut setelah berjaya meraih gangsa dalam acara melombol lelaki di Sukan Asia Hangzhou 2022. - Bernama