Amazon lancar satelit pertama ke orbit

Sepasang satelit pertama Amazon dilancarkan ke orbit pada Jumaat. - Foto AFP
Sepasang satelit pertama Amazon dilancarkan ke orbit pada Jumaat. - Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - Sepasang satelit pertama Amazon dilancarkan ke orbit pada Jumaat, memacu rancangannya untuk membina rangkaian satelit di orbit Bumi.

Roket Atlas V United Launch Alliance (ULA) yang membawa Protoflight untuk rangkaian satelit Amazon Project Kuiper berlepas pada 2.06 petang Jumaat dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral di Florida.

Maklumat tentang saiz dan reka bentuk sepasang satelit Amazon itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Pelancaran Protoflight ialah misi pertama dalam perkongsian komersial yang lebih luas antara ULA dan Amazon, lapor Xinhua.

"Pelancaran awal ini merupakan langkah pertama dalam menyokong penggunaan inisiatif Amazon untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan mampu milik kepada komuniti yang tidak mendapat akses dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh dunia," kata Gary Wentz, naib presiden ULA bagi Program Kerajaan dan Komersial.

Projek ini dijangka dapat membantu menutup jurang digital dengan menyampaikan jalur lebar yang pantas dan mampu milik kepada pelbagai pelanggan, termasuk pengguna, perniagaan, agensi kerajaan dan organisasi lain yang beroperasi di tempat tanpa sambungan yang boleh dipercayai.

Amazon cuba menyaingi SpaceX, yang telah mengembangkan perkhidmatan internet satelit Starlink kepada lebih daripada 2 juta pelanggan.

Satelit pengeluaran pertama Amazon berada di landasan untuk dilancarkan pada separuh pertama 2024, dan ia menjangkakan berada dalam ujian beta dengan pelanggan komersial awal menjelang akhir 2024, menurut syarikat itu. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan: