Bantu belia beli rumah, laksana dasar gaji progresif

Kerajaan digesa menangani segera beberapa isu yang menekan kehidupan belia masa kini antaranya berkaitan RTB dan dasar gaji progresif dalam Belanjawan 2024. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Izzat, Mohd Faiz)
Kerajaan digesa menangani segera beberapa isu yang menekan kehidupan belia masa kini antaranya berkaitan RTB dan dasar gaji progresif dalam Belanjawan 2024. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Izzat, Mohd Faiz)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menangani segera beberapa isu yang menekan kehidupan belia masa kini antaranya berkaitan Perumahan Transit Belia (RTB) dan dasar gaji progresif dalam Belanjawan 2024.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, inisiatif RTB itu merupakan idea baik di saat harga rumah semakin tinggi dan di luar kemampuan belia terutama di Lembah Klang.

Ujar beliau, pelaksanaan projek tersebut pada 2018 dan 2021 seperti dinyatakan seorang menteri pada Mei lalu, tidak berjaya dilaksanakan sekali gus membantutkan harapan belia untuk memiliki rumah sendiri.

“Jadi antara langkah penyelesaian jangka pendek yang kerajaan boleh lakukan ialah mewujudkan model bilik sewa transit seperti dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

"Tetapi elak reka bentuk shoebox housing (rumah kotak) contohnya di Hong Kong. Jangan dibina di Malaysia kerana akan memberi kesan negatif kepada belia," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mohd Izzat, kerajaan juga perlu segera melaksanakan dasar gaji progresif demi kebaikan rakyat.

“Walaupun sampai sekarang tiada maklumat lanjut sama ada diteruskan atau tidak tetapi dasar itu memberi manfaat kepada rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup tinggi.

“Negara juga akan berdaya saing dan mencapai status berpendapatan tinggi sejajar kerangka Ekonomi Madani, “ ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan juga perlu meneliti pelaksanaan Biasiswa MyBrain Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk peringkat sarjana.

Jelasnya, biasiswa itu boleh memupuk kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) belia terutama dalam menghadapi era teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Selain itu, antara perkara lain yang boleh dipertimbangkan semula adalah pemberian diskaun pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada lepasan universiti memandangkan ia bukan perkara baharu untuk dilaksanakan.

“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, diskaun itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Orang Kurang Upaya (OKU) Malaysia, Mohd Faiz Shuhaimi berharap, pelaksanaan dasar satu peratus lantikan OKU dalam sektor perkhidmatan awam dapat dipenuhi oleh kerajaan seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16, Tahun 2010.

“Berdasarkan statistik pekerjaan dan perburuhan daripada Kementerian Sumber Manusia sehingga Mac lalu, hanya 0.3 peratus sahaja OKU yang dilantik dan dapat dilihat jurang sebanyak 0.8 peratus dan ia tidak adil,” ujarnya.

Beliau turut meminta kerajaan memperkasakan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) dengan mewujudkan pautan khusus ke portal carian kerja seperti MyFutureJob.

Katanya, usaha itu bagi memudahkan lebih ramai golongan tersebut dapat mengakses maklumat pekerjaan.

“Inisiatif transisi alam persekolahan ke dunia pekerjaan juga harus dilaksanakan dengan memberikan peruntukan pembangunan modal insan bersesuaian kepada OKU,” jelasnya.