Kerajaan digesa nyatakan pendirian hubungan dengan Israel

Tangkap layar kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Tangkap layar kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia digesa menyatakan pendirian untuk tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik atau perdagangan dengan Israel seperti yang dilaksanakan kepimpinan negara sebelum ini.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, pihaknya sentiasa menyokong Palestin dalam sebarang usaha mempertahankan diri, wilayah dan kepentingan seluruh umat Islam untuk memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa.

Menurutnya, dasar zalim rejim Zionis menjajah dan menindas warga Palestin serta mencemari kesucian masjid tersebut mengundang rasa marah bukan sahaja penduduk di sana, malah masyarakat dunia.

“Tindak balas bersenjata daripada pejuang pembebasan Palestin adalah hak mereka dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah setelah suara serta desakan dipandang sepi masyarakat dunia terutama kuasa-kuasa barat.

“Mereka (kuasa barat) tanpa segan silu mempamerkan hipokrasi dalam melindungi kezaliman Israel biar pun sering kali melanggari undang-undang antarabangsa.

“Negara-negara dunia juga digesa bersatu hati dalam menangani krisis itu melalui jalan perundingan khususnya saluran diplomasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan mengiktiraf sempadan asal Palestin sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Berdasarkan laporan Sinar Harian pada Sabtu, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 160 rakyat Palestin terbunuh manakala ribuan lagi tercedera susulan serangan balas yang dilancarkan oleh rejim Zionis Israel

Agensi berita Al-Jazeera melaporkan, seramai 40 penduduk Israel pula terbunuh, manakala angka mereka yang tercedera susulan serangan awal oleh Pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam pada pagi Sabtu, mencecah 750 orang.

Artikel Berkaitan:

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, rakyat Malaysia turut diminta menolak dan mengecam sekeras-kerasnya penindasan dan kezaliman penjajah itu.

“Solidariti dan doa daripada seluruh rakyat di negara ini diperlukan buat saudara-saudara kita yang berada di Palestin untuk memerdekakan tanah air mereka dari cengkaman penjajah,” ujarnya.