Kekang fahaman syiah: PDRM kerjasama dengan JAKIM

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim (tengah), Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor (kanan) ketika sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim (tengah), Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor (kanan) ketika sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengekang aktiviti penyebaran fahaman syiah di negara ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan dan yakin ia dapat ditangani dengan sebaiknya.

“Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai ‘Who Is Hussain’ yang menyebarkan risalah dipercayai ajaran Syiah di sekitar ibu negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Datuk Mazlan Mansor dilantik secara rasmi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, manakala isterinya Datin Farihah Mohd Zamri sebagai Naib Pengerusi Perkep Malaysia.

Ditanya sama ada pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan NGO berkenaan, Abdul Hamid berkata pihaknya akan menyemak perkara itu dan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa gambar menunjukkan sekumpulan individu melakukan aktiviti penyebaran risalah ‘Who Is Hussain?’ kepada orang ramai secara terbuka bertujuan meminta orang awam melawat laman web yang menjadi doktrin ajaran Syiah.

Sementara itu, Abdul Hamid menyeru masyarakat mengamalkan sikap bersederhana dalam tindakan untuk memperjuangkan hak masing-masing yang membabitkan kaum dan agama bagi mengelak tindak balas radikal atau ekstrim.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung permintaan Hindraf supaya mempertimbangkan untuk memberi perlindungan keselamatan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

“Kita ada NGO (badan bukan kerajaan) yang perjuangkan kepentingan masing-masing...ambil pendekatan sederhana, fahami dan sensitif supaya dapat elak situasi boleh cetuskan provokasi oleh individu yang ekstrim dan radikal dalam pendirian mereka.

“Polis tegas dalam mengambil tindakan terhadap semua bentuk keganasan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik,” katanya.

Semalam, Hindraf dalam satu kenyataan menghargai kejayaan PDRM mematahkan serangan pengganas dan pembunuhan, baru-baru ini, namun pada masa sama meminta Abdul Hamid mempertimbangkan untuk menyediakan perlindungan keselamatan tambahan kepada Waytha Moorthy.

Penasihat undang-undang Hindraf, Karthig Shan dilaporkan berkata perkara membimbangkan mereka apabila pengganas yang ditahan awal bulan ini mempunyai niat untuk membunuh beberapa personaliti berprofil tinggi berikutan dakwaan kononnya mereka gagal menyemangati Islam dan mempersendakan agama itu.

Beliau berkata penyokong Hindraf amat bimbang kerana sebelum ini terdapat serangan ke atas Waytha Moorthy di pejabatnya pada 16 Ogos 2017, selain menjadi sasaran ketika perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskrimininasi Kaum (ICERD) dan dijadikan kambing hitam membabitkan isu rusuhan kuil Seafield seterusnya kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim. - Bernama