Angka kematian gempa bumi Afghanistan meningkat lebih 2,000 orang

Penduduk Afghanistan membersihkan serpihan dari rumah yang rosak selepas gempa bumi di kampung Sarbuland di daerah Zendeh Jan di wilayah Herat. - Foto AFP
Penduduk Afghanistan membersihkan serpihan dari rumah yang rosak selepas gempa bumi di kampung Sarbuland di daerah Zendeh Jan di wilayah Herat. - Foto AFP
A
A
A

ISLAMABAD - Lebih 2,000 orang maut selepas beberapa gempa bumi kuat menggegarkan barat Afghanistan pada Sabtu, kata jurucakap kerajaan Taliban kepada Agensi Berita Jerman (dpa) pada Ahad.

"Jumlah penduduk yang cedera sangat tinggi," kata seorang pegawai di Kementerian Penerangan dan Kebudayaan, Abdul Wahid Rayan.

Sementara itu, pencarian mangsa yang terselamat diteruskan.

Agensi kecemasan PBB OCHA yang pada awalnya meletakkan angka kematian lebih daripada 100 orang pada Sabtu berkata, ia menjangkakan jumlah kematian akan meningkat apabila berpuluh-puluh orang masih terperangkap di bawah bangunan runtuh.

Beberapa kampung di wilayah Herat yang teruk terjejas telah musnah sepenuhnya, kata pihak berkuasa. Menurut WHO, kira-kira 4,200 orang terjejas dan sekurang-kurangnya 600 rumah musnah.

Hospital terbesar di ibu negeri di wilayah Herat sahaja telah menerima hampir 200 penduduk yang maut manakala kira-kira 700 lagi cedera, menurut sumber perubatan.

Sekurang-kurangnya lapan gempa bumi menggegarkan wilayah sempadan berhampiran Iran itu dalam tempoh yang singkat pada pagi Sabtu.

Kajian Geologi Amerika Syarikat yang memantau aktiviti seismik meletakkan magnitud gempa pada nilai antara 4.6 dan 6.3.

Artikel Berkaitan:

Gegaran itu berlaku di barat laut bandar sempadan Herat pada kedalaman cetek sekitar 10 kilometer dan turut dirasai negara jiran, Iran. - Bernama