Sinar Karangkraf, Syria Care bantu kutip sumbangan musim sejuk

(Dari kiri) Hisham Talib, Nik Justin, Siti Sakinah dan Masdiana dalam sidang akhbar Projek Winter Aid 11.0 pada Selasa.
(Dari kiri) Hisham Talib, Nik Justin, Siti Sakinah dan Masdiana dalam sidang akhbar Projek Winter Aid 11.0 pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kolaborasi antara Sinar Karangraf dan Syria Care membantu masyarakat utara Syria serta Lubnan menerusi Projek Winter Aid 11.0 memberi makna besar untuk mereka meneruskan kehidupan lebih baik.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, mereka menyasarkan jumlah sumbangan RM1.3 juta dan antara keperluan yang akan dihantar adalah baju sejuk, selimut, mafla, stokin termasuk briket zaitun, diesel, kayu api serta arang.

Ujarnya, kekurangan barangan keperluan pada musim sejuk berisiko mengakibatkan kematian khususnya kanak-kanak kerana khemah atau rumah tidak mampu menampung suhu ekstrem di kawasan tersebut.

“Projek mengumpul bantuan akan berlangsung di Dewan Melati, Seksyen 17, Shah Alam bermula 14 hingga 22 Oktober 2023 dan kami ingin membuka peluang kepada orang ramai menjayakan misi ini.

“Sinar Karangkraf bukan sahaja menghantar bantuan kewangan, tetapi juga wartawan mereka untuk bersama-sama saya melihat keadaan sebenar. Wang sumbangan juga dalam proses pembinaan rumah yang terjejas akibat gempa bumi Februari lalu.

“Oleh itu kami menyasarkan dua kontena dengan anggaran 68 tan agar lebih banyak keluarga mendapat kehangatan yang diperlukan untuk melalui musim sejuk yang panjang,” katanya dalam sidang media pelancaran Projek Winter Aid 11.0 Syria Care di Alamy Event Hall Space U8, pada Selasa.

Dalam pada itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, sebagai rakan strategik dan sokongan kepada Syria Care, usaha tersebut akan terus dilaksanakan bagi memastikan mereka yang terjejas dapat dibantu sepenuhnya.

Siti Sakinah (kiri) bersama Datin Seri Masdiana Muhamad menunjukkan baju sejuk yang akan disumbangkan kepada masyarakat Utara Syria dan Lubnan.
Siti Sakinah (kiri) bersama Datin Seri Masdiana Muhamad menunjukkan baju sejuk yang akan disumbangkan kepada masyarakat Utara Syria dan Lubnan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, bantuan kewangan yang disalurkan menerusi Tabung #Bantuan Bencana Sinar Karangkraf x Syria Care pada Februari lalu telah digunakan sedikit bagi membina penempatan yang lebih selamat.

“Sinar Karangkraf berharap dengan gabungan rakan strategik lain dapat membantu memberi implikasi besar bagi memastikan jumlah sasaran mampu dicapai.

“Kita mahu segala bentuk bantuan yang disalurkan membantu dalam jangka panjang dan membina semula ekonomi supaya masih ada sinar buat mereka meneruskan kehidupan,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad berkata, bagi menjayakan bantuan tersebut pihaknya akan berusaha mendapatkan dana dan menyalurkan beberapa keperluan harian.

“Saya akan usahakan untuk membantu pihak Syria Care termasuk memberikan pakaian terpakai dan juga keperluan utama. Buat masa ini kami masih dalam perancangan untuk mengumpul dana,” ujarnya.

Selain itu, menurut Jawatankuasa Pemerkasaan dan Penulis Kandungan Min Qalby Foundation, Hisham Talib Abdul Talib, walaupun pertama kali bekerjasama dengan Syria Care, namun tidak menghalang mereka daripada turut serta membantu mengumpul dana menerusi aplikasi Qalby yang mempunyai lebih 1.5 juta pengguna.

“Kami akan mencari dana dan jumlah sasaran adalah sebanyak RM 200,000. Pelancaran kutipan dana akan dibuat menerusi aplikasi kami dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.