PRK Pelangai: Amizar tampil empat Ikhtiar Pelangai

Amizar
Amizar
A
A
A

BENTONG - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam menampilkan empat Ikhtiar Pelangai dalam usaha untuk membangunkan kawasan tersebut sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Beliau berkata, empat Ikhtiar itu bertepatan dengan keperluan dan kehendak penduduk di kawasan ini iaitu pembangunan, pendidikan, ekonomi dan kebajikan.

Menurutnya, dibawah ikhtiar pembangunan, beliau akan menyegerakan pembukaan sebuah stesen minyak Simpang Pelangai dan membina jalan raya baharu yang menghubungkan Karak ke Simpang Pelangai.

"Saya akan merealisasikan Skim Tanah Rakyat Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan generasi baharu Felda dan kampung tradisional memiliki kediaman sendiri. Selain itu, saya berhasrat melaksanakan perumahan Prima (Projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia) Pahang di lokasi strategik di DUN Pelangai ini.

"Saya juga mendapati keperluan lampu jalan amat penting kepada orang kampung demi memastikan keselamatan mereka untuk melakukan aktiviti harian dan merancakkan pembangunan infrastruktur luar bandar di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Felda," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menyentuh mengenai ikhtiar pendidikan, Amizar mahu melibatkan penyertaan lebih ramai anak muda Pelangai dalam program latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Beliau akan memastikan setiap pelajar dan anak muda mendapat manfaat melalui pelbagai inisiatif yang disenaraikan di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

"Selain itu, ikhtiar ini juga akan merapatkan jurang pendidikan dan keciciran dalam kalangan Orang Asli menerusi pelbagai inisiatif pendidikan dan pembelajaran kerajaan negeri Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, menerusi inisiatif khas kerajaan, saya juga akan mempertingkat kualiti pendidikan dan pembangunan prasekolah termasuk di tadika milik kerajaan selain menaiktaraf kemudahan menimba ilmu di Perpustakaan Simpang Pelangai," katanya.

Menerusi ikhtiar ekonomi, Amizar merancang untu menjadikan Pelangai sebagai pintu masuk utama dari selatan Semenanjung menerusi aktiviti ekonomi di sempadan Pahang-Negeri Sembilan.

Tambahnya, peluang pekerjaan dan perniagaan akan diperbanyakkan khususnya dalam bidang pelancongan tani atau pun agrotourism bagi menambah pendapatan penduduk.

"Melalui usaha yang telah dirancang, saya juga akan merancakkan pemasaran produk tempatan dan hasil kampung ‘Made in Pelangai’ ke bandar-bandar utama," jelas Amizar lagi.

Amizar memaklumkan BPP di DUN Pelangai yang melibatkan golongan B40, anak muda, pelajar juga akan diperkasakan

"Ini bagi memastikan lebih ramai penduduk di Pelangai mendapat manfaat melalui bantuan khas kebajikan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismai).

"Saya juga mahu mewujudkan pusat aktiviti warga emas dan pusat kegiatan anak muda serta merealisasikan pembinaan Pusat Hemodialisis dan klinik kesihatan swasta dan farmasi di Pelangai," katanya yang merupakan anak jati Pahang.

Sehubungan itu, beliau memahami terdapat pihak lain yang mungkin menawarkan perkara yang sama, namun semua ikhtiar ini hanya dapat direalisasikan jika pengundi memberikan peluang kepadanya.

"Beri peluang untuk membuktikan kemampuan saya untuk menjadi wakil kepada suara anda semua. Ini membolehkan segala perancangan pembangunan yang telah dihasratkan ini dapat dijayakan demi keperluan dan kepentingan rakyat Pelangai," ujarnya.