Tegahan jumpa bomoh atau dukun, penyebab hilang pahala solat 40 hari
DALAM dunia serba moden hari ini, masih ada lagi orang mendapatkan khidmat bomoh atau dukun untuk rawatan, berubat mahupun mencari barang hilang dan sebagainya.
Malah, ada yang terlalu taasub mempercayai mereka seakan terlupa dengan kekuasaan dan kehebatan ALLAH SWT YANG MAHA BERKUASA.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Rabu, pihak berkuasa agama itu menegaskan tentang larangan mendatangi dukun atau tukang ramal.
Jelas Jakim, haram hukumnya kita pergi kepada dukun untuk meminta mereka mengubati sihir yang dihadapi.
“Ini kerana apabila kita melakukan sedemikian, perbuatan itu jelas membawa kepada pergantungan selain daripada ALLAH SWT.
“Begitu juga bagi tujuan mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai sesuatu urusan daripada tukang ramal. Hukumnya adalah haram kerana ia boleh membawa syirik kepada ALLAH SWT,” tegasnya.
Jakim menambah, perbuatan mendatangi tukang ramal itu sebenarnya termasuk sebagai salah satu jenis syirik kepada ALLAH SWT.
“Ini disebabkan ia membabitkan keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perntaraan selain daripada ALLAH SWT,” terangnya.
Larangan itu ada disebutkan secara jelas menerusi sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sementara itu,My #HadithTime menjelaskan, ada sebab mengapa Rasulullah SAW begitu melarang umatnya pergi berjumpa dan percaya kepada bomoh atau tukang ramal yang kononnya tahu perkara-perkara ghaib seperti masa hadapan, masa lalu, barang yang dicuri, tempat barang hilang dan seumpamanya.
Perbuatan itu, katanya, bukan sahaja menyebabkan hilangnya pahala solat seseorang selama 40 hari, tetapi juga mengkufuri al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.
Bahkan, turut mendustakan firman ALLAH SWT dalam surah an-Naml, ayat 65 yang bermaksud: “Katakanlah lagi: Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan ALLAH.”
“Sebab itulah Rasulullah SAW memberikan amaran keras terhadap perbuatan berjumpa dengan bomoh.
“Kesan daripada perbuatan itu sangat berbahaya yang mana akhirnya boleh membawa kepada dosa-dosa besar seperti pembunuhan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran My #HadithTime di platform X miliknya pada Khamis.
Harus berubat dengan perawat Islam
Bagaimana pula jika kita berubat dengan perawat Islam?
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, harus hukumnya menggunakan khidmat rawatan daripada perawat Islam dengan syarat-syarat tertentu.
Itu pun jika perawat Islam tadi menggunakan bacaan jampi atau ruqyah dalam perawatannya dan menepati syarat-syarat ditetapkan serta tidak melanggar tata cara dan prinsip dalam perubatan ruqyah dan alternatif Islam.
“Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya, Al-Fath al-Bari menjelaskan, para ulama sepakat tentang kebolehan membuat rawatan jika memenuhi tiga syarat ditetapkan.
“Pertama, ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman ALLAH SWT atau dengan nama-nama dan sifat-sifat-NYA.
“Selain itu, ruqyah tersebut hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa Arab atau sesuatu bahasa selain Arab yang difahami maknanya.
“Satu lagi, hendaklah meyakini bahawa ruqyah tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya, tetapi hanya dengan izin ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-18: Hukum berubat dengan perawat Islam dan meminta pertolongan jin yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan, seorang yang bergelar perawat Islam hendaklah mereka yang sahih dan betul akidahnya, baik akhlaknya, tidak melakukan dosa-dosa besar atau kecil berterusan hingga menjatuhkan maruah sebagai perawat.
"Pada masa sama, tidak melakukan kesyirikan kepada ALLAH SWT dan tidak menjadikan khidmat rawatan Islam sebagai sumber rezeki dan seumpamanya," katanya.
Bagaimanapun, jika melibatkan bantuan jin Muslim, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, haram berbuat demikian.
Ia berdasarkan kepada hujah yang dibawakan oleh institusi fatwa Lajnah Daimah dan pandangan Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili.
“Ketika ditanyakan hukum meminta pertolongan jin Muslim untuk berkhidmat kepada orang Islam dan meminta bantuan secara umum, Dr Wahbah Az-Zuhaili mengatakan, haram meminta pertolongan jin walau dalam apa jua keadaan.
“Bahkan, perkara ini adalah tercela secara syarak berdasarkan firman ALLAH SWT menerusi ayat ke-6, surah al-Jin,” katanya.