Waspada ancaman gugat akidah muslimin

Hargai akidah Islamiah yang menjadi ikatan antara manusia dan ALLAH SWT. Simpulan ini semestinya disertai dengan pengakuan syahadah atau persaksian; baik secara lisan mahupun perbuatan.

A
A
A

PERKEMBANGAN dunia hari ini yang mengikut arus kemajuan sains dan teknologi tidak dapat dinafikan lagi. Selari dengan itu juga berlaku perkembangan pemikiran moden hasil ledakan maklumat yang begitu pantas melalui capaian internet, aplikasi media sosial Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram dan sebagainya.

Kemunculan aliran pemikiran modenisasi, progresif atau liberal yang berasal dari dunia barat mengakibatkan penentangan terhadap agama dan budaya seterusnya memberi ancaman kepada umat Islam.

Kekeliruan dalam pengetahuan agama yang berlaku terutamanya dalam perkara yang melibatkan akidah Islam amat membimbangkan.

Kemunculan pelbagai fahaman agama yang menyeleweng termasuk ajaran sesat serta penyebaran fahaman dalam media sosial adalah menjadi ancaman kepada akidah umat Islam di Malaysia.

Misi Nabi Muhammad

Akidah bererti ‘kepercayaan’, ‘keyakinan’ atau ‘keimanan’ yang mantap dan tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana unsur pun sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang.

TEGUHKAN diri dengan akidah Islamiah yang benar. -Foto: 123rf
TEGUHKAN diri dengan akidah Islamiah yang benar. -Foto: 123rf

Artikel Berkaitan:

Akidah Islam menjelaskan konsep rukun iman iaitu beriman kepada ALLAH SWT, malaikat, kitab-kitab-NYA, nabi dan rasul, hari kiamat serta qada’ dan qadar.

Akidah memainkan peranan yang sangat penting bagi mencapai kesejahteraan di dalam kehidupan. Antara peranannya ialah:

- Menjadi pegangan hidup setiap individu.

- Membentuk individu dengan akhlak dan peribadi yang mulia.

- Menjadi benteng pelindung dari melakukan perbuatan yang tidak diredai oleh ALLAH SWT.

- Menghindarkan diri dari pengaruh ajaran sesat.

- Mendapat rahmat, perlindungan dan kasih sayang dari ALLAH SWT.

Misi Nabi Muhammad SAW selama 13 tahun di Makkah adalah untuk menanamkan akidah yang kukuh dalam kalangan para sahabat. Akidah ini diumpamakan seperti sebuah pohon yang kukuh tegak berdiri, sepertimana firman ALLAH di dalam Surah Ibrahim ayat 24 dan 25 yang bermaksud:

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana ALLAH mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.”

“Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan ALLAH mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).”

Hasil daripada tarbiah ini sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW mengamalkan seluruhnya perintah-perintah ALLAH dan mereka mampu menjaga negara Islam Madinah kerana akidah mereka sudah kuat.

Senario ancaman

Pada masa kini akidah umat Islam telah diancam dengan pelbagai fahaman dan ajaran daripada individu atau kumpulan tertentu.

BERHATI-HATILAH dengan pelbagai fahaman dan ajaran daripada individu atau kumpulan tertentu agar diri tidak mudah terjebak ke kancah yang membinasakan. -Gambar hiasan
BERHATI-HATILAH dengan pelbagai fahaman dan ajaran daripada individu atau kumpulan tertentu agar diri tidak mudah terjebak ke kancah yang membinasakan. -Gambar hiasan

Secara umumnya terdapat dua bentuk penyebaran sesuatu fahaman atau ideologi iaitu melalui media massa atau elektronik dan pengajaran melalui guru mahupun penyampai yang dibuat secara langsung.

Jika dilihat senario yang berlaku pada hari ini, ilmu pengetahuan begitu mudah diperoleh melalui internet.

Kita boleh mengakses apa sahaja bahan ilmiah yang diperlukan namun perlu diingatkan dakyah atau doktrin yang menyimpang dan mengancam akidah sengaja dibuat oleh individu serta golongan tertentu bagi tujuan mendapatkan sokongan, kepercayaan dan pengikut dalam kalangan masyarakat khususnya yang beragama Islam.

Penyebaran ideologi melalui media sosial di Malaysia pula dalam bentuk fahaman seperti liberalisme, Daesh, Indie dan juga dalam bentuk ajaran seperti Syiah, Kristian dan ajaran sesat Ilmu Makrifat, ajaran Aurad Muhammadiah al-Arqam dan lain-lain.

Fahaman-fahaman atau ajaran-ajaran ini mampu menyebabkan kekeliruan dan menimbulkan tekanan kepada orang awam kerana kesemuanya mendakwa bahawa ajaran mereka sahaja yang benar dan tulen serta relevan pada masa kini.

Sekiranya pegangan akidah tidak kuat dan kukuh, maka akan mudah terpengaruh dengan dakyah dan ideologi sesat mereka. Antara fahaman yang menjadi ancaman kepada akidah umat Islam adalah seperti berikut:

TIADA masalah untuk mengakses apa sahaja bahan ilmiah yang diperlukan, namun berwaspadalah dengan dakyah atau doktrin yang menyimpang dan mengancam akidah umat Islam. -Gambar hiasan/ Foto: Unsplash
TIADA masalah untuk mengakses apa sahaja bahan ilmiah yang diperlukan, namun berwaspadalah dengan dakyah atau doktrin yang menyimpang dan mengancam akidah umat Islam. -Gambar hiasan/ Foto: Unsplash

a) Fahaman Liberalisme dan Pluralisme

Liberalisme adalah antara fahaman yang menyeru kepada kebebasan, ingin bebas dan terbuka serta tidak terkongkong kepada satu aliran pemikiran, (Kamus Dewan, 2017).

Manakala fahaman Pluralisme menganggap semua agama adalah sama benar, atau satu agama boleh benar untuk sesetengah agama yang lain.

Kedua-dua fahaman ini tercetus dari negara barat dan mempengaruhi pemikiran masyarakat serta telah menular dalam setiap cabang kehidupan seperti politik, ekonomi mahupun budaya.

Apa yang membimbangkan adalah apabila kedua-dua fahaman liberalisme ini menyelinap masuk dalam diri seseorang yang boleh menjejaskan pegangan agama Islam.

Menurut kajian Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 2018 di Institusi Islam Selangor, hampir 35 peratus fahaman liberal telah mempengaruhi pemikiran kakitangan awam kerajaan.

Antara gerakan-gerakan aktif yang membawa fahaman liberalisme dan pluralisme di Malaysia adalah Sisters in Islam dan kumpulan G25. Pertubuhan ini sangat aktif dengan hantaran-hantaran berkaitan isu hak asasi wanita Islam di laman media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Selain itu, mereka juga terkenal dalam memberikan sokongan yang kuat kepada golongan Lesbian, gay, biseksual, transgender, queer dan intersex (LGBTQi). Pada 17 Julai 2014, SIS telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor.

***Ikuti bahagian kedua rencana ini pada minggu hadapan