KDEBWM, UUM meterai kerjasama tingkat kecekapan pengurusan sisa, kitar semula

Ramli (dua dari kiri) Russayani (dua kanan) menandatangani RCA di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Jumaat.
Ramli (dua dari kiri) Russayani (dua kanan) menandatangani RCA di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) menandatangani Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (RCA) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi meningkatkan kecekapan sistem operasi pengurusan sisa dan pembangunan pusat kitar semula.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, perjanjian juga selaras dengan perancangan KDEBWM bagi mewujudkan 12 pusat kitar semula di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

"Sekarang kita sudah ada empat pusat kitar semula di negeri ini dan bercadang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 12 pusat kitar semula, sebuah di setiap kawasan PBT dalam tempoh dua tahun ini.

"Kita harap dengan sistem pengiraan kuantitatif dan kualitatif dilaksanakan pihak UUM ini akan memberikan kita lokasi sesuai ke arah kelestarian lebih hijau bagi bidang kitar semula ini," katanya.

Sebelum itu, Ramli mewakili KDEBWM manakala UUM diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Russayani Ismail menandatangani RCA di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Jumaat.

Ramli berkata, sokongan kewangan dalam bentuk geran akan disediakan kepada Pusat Teknologi, Pengurusan dan Logistik (STML) UUM untuk menjalankan penyelidikan selama setahun.

Ramli (lima dari kiri) Russayani (enam kanan) pada majlis menandatangani RCA di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Jumaat.
Ramli (lima dari kiri) Russayani (enam kanan) pada majlis menandatangani RCA di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Jumaat.

Menurutnya, tiga penyelidik universiti berkenaan akan terlibat dalam kaedah kajian kualitatif dan kuantitatif meliputi pengumpulan data, temu bual dan lawatan tapak.

Artikel Berkaitan:

“Penting untuk KDEBWM buat kajian supaya kita dapat data yang betul untuk memantapkan strategi operasi pengurusan sisa dan kitar semula. Pemilihan UUM kerana kita yakin ia antara universiti kedepan dalam kajian teknikal.

“Diharap kaedah kajian digunakan membantu kita mengenal pasti lokasi baharu sesuai untuk pembinaan lapan lagi pusat kitar semula sebagai tambahan kepada empat sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Dr Russayani berkata, pengumpulan data kajian terbabit akan melibatkan semua pemegang taruh KDEBWM, komuniti dan pemain industri di Selangor bagi mencapai keputusan terbaik.

“Kami berterima kasih kepada KDEBWM kerana memberi kepercayaan sepenuhnya mengendalikan kajian ini. Kami akan kepakaran daripada segi teori, manakala KDEBWM ada pengalaman praktikal.

“Gabungan ini diyakini dapat menghasilkan keputusan terbaik bagi setiap permasalahan yang timbul dalam industri demi kebaikan komuniti,” katanya.