Tunku Azizah titah PPPM teroka peluang perniagaan bahan kitar semula

Tunku Azizah (dua dari kanan) bersama Tengku Permaisuri Norashikin (tiga dari kiri) berkenan melawat ke tapak pameran kraf tangan selepas Majlis Perasmian Program Plastics Buster Beach-River-Park Clean Up Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini. - Foto Bernama
Tunku Azizah (dua dari kanan) bersama Tengku Permaisuri Norashikin (tiga dari kiri) berkenan melawat ke tapak pameran kraf tangan selepas Majlis Perasmian Program Plastics Buster Beach-River-Park Clean Up Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini bertitah agar Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) meneroka peluang perniagaan baharu termasuklah daripada bahan kitar semula.

Tunku Azizah yang juga Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertitah bahawa botol plastik mampu dikitar semula dan boleh dijadikan bahan dalam menghasilkan beg, kusyen serta selimut.

"Pada Mei tahun lepas saya telah ke Chelsea Flower Show (di England) dan saya amat kagum apabila memasuki satu reruai. Cantik tenunan dan hamparan beg, kusyen, selimut (yang dihasilkan daripada botol plastik).

"Yang saya nak kongsi mereka di England mengambil semua botol plastik lalu dicairkan bersama hampas padi di India menjadi benang serta ditenun untuk membuat karpet, beg dan selimut,” titah Tunku Azizah.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Program ‘Plastic Busters Beach-River-Park Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023’ di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini melibatkan 1,000 peserta selain ia turut dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin merangkap Penaung Diraja PPPM Cawangan Selangor.

Turut hadir, Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tunku Azizah bertitah, program dan aktiviti pembersihan alam sekitar khususnya kawasan pantai yang dilaksanakan hari ini mampu menanam kesedaran pada semua peringkat masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

"Ini bagi menanam semangat sayangkan alam sekitar kerana kita di Malaysia ini suka buang sampah dalam sungai, jadi ia akan masuk ke laut. Sebanyak mana duit ada dalam dunia, kita tidak boleh membuat pantai. Jika kita hapuskan pantai, kita tidak boleh membuatnya semula kerana itu adalah alam semula jadi yang kita harus jaga.

"Jadi kita kena didik semua orang di sini. Kita sekarang ada banyak tong sampah khas (tong sampah kitar semula). Sudah tiba masanya anak-anak faham apa yang terjadi di pantai. Apa yang terjadi sekiranya kita buang plastik begitu sahaja,” titah Seri Paduka Baginda.

Tunku Azizah bertitah, program itu juga akan meningkatkan kebertanggungjawapan semua pihak termasuk daripada kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan dalam memelihara serta memulihara perairan dan pantai di samping dapat mewujudkan persekitaran yang bersih ceria malah selamat untuk dikunjungi. - Bernama