Sabah enggan dibuai kemenangan besar

Saadil (kanan) mencipta impak besar kepada Sabah ketika menentang PSM Makassar. Foto Sabah FC
Saadil (kanan) mencipta impak besar kepada Sabah ketika menentang PSM Makassar. Foto Sabah FC
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemain dibuai dengan kejayaan membelasah kelab Indonesia, PSM Makassar 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan H Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada Khamis.

Sebaliknya, beliau mahu pemain terus fokus apatah lagi saingan Piala AFC itu masih panjang dan The Rhinos baru mengharungi dua perlawanan.

Malah, dua kemenangan berturut-turut bukan jaminan untuk pasukan itu mara ke pusingan seterusnya dan percaya laluan akan menjadi lebih berliku selepas ini.

"Masih terlalu awal (untuk memikirkan peluang layak ke peringkat seterusnya) kerana baru dua perlawanan. Apa yang penting kami kena kekal momentum dan fokus.

"Namun, hari ini kami bermain mengikut perancangan. Sudah tentu Makassar tidak bernasib baik apabila mereka bermain 10 orang dan menjadikan tugas kami lebih mudah.

"Tetapi, kami tidak boleh terbawa-bawa dengan kemenangan ini dan kami perlu fokus untuk perlawanan-perlawanan akan datang," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sabah ketika ini berada di kedudukan teratas Kumpulan H dengan enam mata hasil dua kemenangan dibezakan tiga mata dengan pasukan di kedudukan kedua Hougang United yang ditewaskan Sabah dalam perlawanan pertama.

Pencabar utama Sabah dalam kumpulan tersebut iaitu kelab Vietnam, Hai Phong pula dikejutkan Hougang United dalam satu lagi aksi berlangsung pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan itu, Darren Lok meledak dua gol dan masing-masing satu gol melalui Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Muhammad Farhan Roslan.

Turut mencuri tumpuan adalah kelibat Saadil Ramdani yang tampil cemerlang menjadi kunci gerakan kepada tiga gol yang dijaringkan Sabah.

Kim Swee memuji persembahan yang ditampilkan oleh Saadil dan percaya pemain berusia 24 tahun itu antara pemain terbaik di Asia Tenggara.

"Saadil sudah tentu mahu membuktikan sesuatu. Seperti saya katakan sejak awal musim apabila pertama kali bersama Saadil, dia seorang pemain yang bertaraf tinggi dan seorang pemain terbaik di Asia Tenggara.

"Namun, masih terlalu awal dan dia juga masih muda dan saya harap Saadil dapat teruskan prestasi tersebut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!