Prestasi kutipan zakat Skim Sakinah ZPP meningkat 3.8 peratus

Antara kakitangan kerajaan negeri yang hadir ke Program Bicara Santai Selebriti dan Kempen Zakat Pendapatan di Komtar pada Jumaat.
Antara kakitangan kerajaan negeri yang hadir ke Program Bicara Santai Selebriti dan Kempen Zakat Pendapatan di Komtar pada Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Prestasi kutipan zakat menerusi Skim Sakinah Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi tahun ini sehingga September meningkat 3.8 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, sehingga 30 September lalu, ZPP berjaya mengumpul RM42.5 juta berbanding RM40.9 juta pada tahun 2022 di bawah skim berkenaan.

"Sejak 2020, Skim Potongan Zakat Bulanan (SPZB) yang menyasarkan penyertaan kakitangan awam dan swasta telah dijenamakan semula sebagai Skim Sakinah ZPP.

ZPP melaksanakan skim potongan zakat bulanan ini sejak awal penubuhan lagi.

"Peningkatan jumlah kutipan ini didorong oleh jumlah majikan yang bertambah saban tahun.

Bagaimanapun, ZPP sedar bahawa kempen kesedaran zakat secara praktikal boleh dilaksanakan dengan bantuan yang signifikan daripada pihak majikan terutamanya daripada agensi kerajaan negeri yang memberi ruang dan peluang kepada ZPP untuk membuat taksiran zakat kepada prospek pembayar zakat dalam kalangan kakitangan agensi dan jabatan," katanya ketika berucap di Program Bicara Santai Selebriti dan Kempen Zakat Pendapatan di Komtar pada Jumaat.

Ahmad Rizal (kiri) dan Amran bergambar bersama selepas Program Bicara Santai Selebriti dan Kempen Zakat Pendapatan di Komtar pada Jumaat.
Ahmad Rizal (kiri) dan Amran bergambar bersama selepas Program Bicara Santai Selebriti dan Kempen Zakat Pendapatan di Komtar pada Jumaat.

Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Ahmad Rizal Mohd Hanapiah.

Artikel Berkaitan:

Amran berkata, pelaksanaan skim ini selaras dengan fatwa Kerajaan Pulau Pinang mengenai kewajipan Zakat Penggajian yang diwartakan pada 26 April 2001.

"Pendapatan penggajian merangkumi gaji tahunan, tunggakan gaji, pelbagai elaun termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.

"Kewajipan menunaikan zakat penggajian berdasarkan nisab zakat pendapatan iaitu bersandarkan 85 gram emas.

Kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan kasar atau pendapatan bersih," katanya.

Tambah Amran, ZPP telah menyediakan inisiatif menarik kepada pembayar zakat di bawah Skim Kafalah Mahabbah.

"Skim Kafalah Mahabbah ini membolehkan pembayar zakat yang menunaikan zakat minimum RM100 setahun akan mendapat khairat kematian berjumlah RM1,000 jika berlaku kematian.

"Skim ini adalah skim khairat kematian atau tabung sumbangan ikhlas daripada ZPP yang diberikan kepada waris pembayar zakat dan waris penerima bantuan zakat bulanan apabila berlaku kematian terhadap pembayar dan penerima bantuan bulanan zakat," katanya.