Tanam padi keliling rumah, dari hobi kini dapat hasil

Norsaliha menunjukkan sawah mini yang ditanam di kawasan rumah bagi mengisi masa lapang. Sawah mini diusahakan Norsaliha di rumahnya di Sungai Buloh.
Norsaliha menunjukkan sawah mini yang ditanam di kawasan rumah bagi mengisi masa lapang. Sawah mini diusahakan Norsaliha di rumahnya di Sungai Buloh.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Bermula sekadar hobi siapa sangka padi yang ditanam sekeliling rumah kini membuahkan hasil dan dapat menampung keperluan harian ketika harga beras naik mendadak di pasaran.

Norsaliha Mohamed Amzah, 52, berkata, padi itu ditanam kira-kira lima tahun lalu sebagai terapi kepada suami yang sakit.

Menurutnya, walaupun suami telah meninggal dunia setahun lepas, namun dia tetap meneruskan hobi tersebut atas faktor minat kepada cucuk tanam.

"Di Sungai Buloh tanahnya terhad jadi selain tanam atas tanah, saya gunakan juga pasu atau tong yang airnya ditambah dua ke tiga hari sekali untuk memastikan ia tidak kering.

"Padi seperti yang kita tahu perlu ada tali air tapi disebabkan saya tanam secara kecil-kecilan, tanam pula di Sungai Buloh maka kita sesuaikan dengan keadaan," katanya kepada Sinar Harian.

Norsaliha berkata, padi yang ditanam itu membuahkan hasil tiga kali setahun menghasilkan kira-kira 10 kilogram (kg) bagi setiap musim.

Padi yang ditanam pada bekas dan pasu.
Padi yang ditanam pada bekas dan pasu.

"Ia sedikit sebanyak membantu menampung bekalan beras yang naik mendadak kini. Ada ketika saya juga buat emping dan tepung beras.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sekadar padi, saya juga tanam sayur-sayuran seperti terung, bendi dan jagung yang ada ada ketika saya tak perlu untuk beli sayur dan ada juga diberikan kepada orang," katanya.

Katanya, hobinya kini telah menarik orang sekeliling untuk turut serta menanam padi menggunakan kaedah sama.

"Untuk saya bergantung sepenuhnya kepada hasil padi yang ditanam ini sedikit sukar kerana tiada tanah yang luas, ia lebih kepada mengisi masa lapang.

"Saya tidak menggunakan racun jadi beras yang dihasilkan juga bebas bahan kimia. Ketika harga bahan makanan yang sedang melambung di pasaran ada baiknya saya cucuk tanam menampung keperluan makanan, " katanya.

Ditanya mengenai pemprosesan, dia ada kala menggunakan kaedah manual dan kini menjadi mudah selepas kenalan membeli mesin beras.

"Jadi saya kumpulkan hasilnya, bila dah banyak saya akan ke Tanjong Karang untuk proses beras berkenaan," katanya.