Wakaf Pahang serah sumbangan 168 kerusi roda kepada JKNP

Halidan menyerahkan kerusi roda kepada Dr Nor Azimi sebagai simbolik Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda Wakaf Pahang, Muip dengan Kerjasama Bank Muamalat kepada JKNP, di sini pada Khamis.
Halidan menyerahkan kerusi roda kepada Dr Nor Azimi sebagai simbolik Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda Wakaf Pahang, Muip dengan Kerjasama Bank Muamalat kepada JKNP, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Wakaf Pahang menyumbang 168 kerusi roda bernilai lebih RM60,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) untuk diagihkan ke klinik-klinik kesihatan di negeri ini.

Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, sumbangan itu sebahagian daripada hampir RM2 juta sumbangan wakaf tunai yang berjaya dikumpulkan setakat ini.

Menurutnya, sumbangan itu juga sebagai simbolik saluran dana wakaf tunai yang dikhaskan bagi lima kategori iaitu keagamaan, kesihatan, pendidikan, sosial dan ekonomi.

"Setakat ini tiga kategori telah menerima manfaat dana wakaf ini iaitu keagamaan, kesihatan (kerusi roda dan mesin dialisis) dan pendidikan melalui sumbangan kepada sekolah.

"Wakaf Pahang berhasrat untuk meningkatkan kutipan dana wakaf tunai kepada RM3.5 juta tahun ini dengan bilangan pewakaf seramai 6,500 orang khususnya melalui potongan gaji.

"Setakat ini hampir RM2 juta berjaya dikumpulkan daripada 5,500 pewakaf manakala kira-kira RM1.2 juta telah dimanfaatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda Wakaf Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dengan Kerjasama Bank Muamalat kepada JKNP di sini pada Khamis.

Serahan sumbangan kerusi roda itu diterima Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Artikel Berkaitan:

Halidan berkata, Wakaf Pahang turut bekerjasama dengan Bank Muamalat (Wakaf Pahang Muamalat) dengan tumpuan kepada kategori kesihatan, sosial dan ekonomi.

"Sumbangan kerusi roda ini inisiatif pertama Wakaf Pahang Muamalat selain dua lagi projek iaitu klinik bergerak dan penyediaan mesin pengering ikan dengan kerjasama Jabatan Perikanan dan Persatuan Nelayan," jelasnya.

Sementara itu, katanya, Wakaf Pahang turut memanfaatkan dana yang dikumpulkan bagi menyediakan bot wakaf di Pulau Tioman.

"Projek ini telah diluluskan menggunakan sebahagian dana wakaf dan sebahagian lagi hasil sumbangan badan korporat," ujarnya.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, sumbangan kerusi roda yang diterima akan diagihkan ke 94 klinik kesihatan di negeri ini.

Menurutnya, kerusi roda satu keperluan di klinik-klinik kesihatan kerana ramai pesakit memerlukannya.

"JKNP berbesar hati atas sumbangan ini dan diharap ada lagi sumbangan Wakaf Pahang kepada jabatan itu bagi keperluan lain pada masa akan datang.

"Saya amat menggalakkan kakitangan JKNP menyumbang kepada Wakaf Pahang mengikut kemampuan," katanya.