Datuk didenda RM60,000 kemuka butiran dana Mitra palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan pilihan, mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu membabitkan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) pada dua tahun lalu.

Datuk B Reghu, 63, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, semasa prosiding yang dijadual untuk perbicaraan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 21 bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut tiga pertuduhan pilihan itu, dia didakwa menggunakan dua invois bertarikh 25 November dan 18 Disember 2019 berjumlah RM25,000 sebagai tulen sementara satu lagi baucar bayaran bertarikh 29 November tahun sama (RM5,000) yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia merupakan dokumen palsu, di Mitra pada 5 Mei 2021.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, bagi 20 lagi pertuduhan pilihan membabitkan dokumen palsu yang dihadapi Reghu sebelum ini dipertimbangkan sebagai 'take into consideration' (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali sementara pembelaan oleh peguam, Hamidi Mohd Noh.

Pada 18 Februari tahun lalu, dia mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan utama, mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu membabitkan dana Mitra berjumlah RM276,625.

Tertuduh turut diberikan 23 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan membabitkan amaun berjumlah RM100,625.

Mengikut 35 pertuduhan itu, dia didakwa mengemukakan Laporan Akhir Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara Reform Training yang mana program-program yang diperuntukkan di bawah geran kewangan Mitra antaranya senarai kedatangan peserta, surat perakuan penggunaan dana, baucar bayaran, invois dan cek deposit resit di Mitra, Putrajaya pada 5 Mei 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 atau mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi 23 lagi pertuduhan pilihan, dia didakwa dengan curangnya menggunakan pelbagai dokumen sebagai tulen, dengan sebab untuk mempercayai bahawa ia adalah dokumen palsu pada tarikh dan lokasi sama.