Bertrand Rhodict nombor empat terbaik 10m platform lelaki

Bertrand Rhodict beraksi pada pusingan akhir acara terjun 10m platform lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 di pusat sukan akuatik Olimpik Hangzhou pada Rabu.
Bertrand Rhodict beraksi pada pusingan akhir acara terjun 10m platform lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 di pusat sukan akuatik Olimpik Hangzhou pada Rabu.
A
A
A

HASRAT skuad terjun negara untuk menambah koleksi pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022 tidak kesampaian pada hari terakhir saingan di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pada Rabu.

Namun, atlet terjun muda Bertrand Rhodict Lises terus melakar pencapaian memberangsangkan pada penampilan pertamanya di Sukan Asia apabila menamatkan final 10 meter (m) platform lelaki di kedudukan keempat selepas mengumpul keseluruhan 434.85 mata.

Penerjun berusia 18 tahun itu sebelum ini meraih gangsa ketika bergandingan dengan Enrique Maccartney Harold dalam acara 10m platform seirama lelaki, Ahad lepas.

"Sangat gembira dapat empat teratas... saya cuma perlu perbaiki tahap kesukaran dan tingkatkan lagi untuk dapatkan kedudukan podium," kata Bertrand Rhodict selepas final di sini.

Pada masa sama, seorang lagi penerjun negara Jellson Jabillin yang membuat penampilan keduanya di temasya itu, menduduki tempat kelima dengan catatan 403.00 mata.

Emas menjadi milik penerjun tuan rumah Yang Hao yang jauh meninggalkan pencabar lain dengan meraih 554.35 mata, diikuti rakan senegaranya Bai Yuming yang merangkul perak (495.55 mata) dan Rikuto Tamai dari Jepun meraih gangsa selepas memungut 480.50 mata.

Dalam final 3m papan anjal wanita, wakil tunggal negara Kimberly Bong yang membuat penampilan sulung di Sukan Asia terpaksa akur dengan kehebatan lawan yang lebih berpengalaman apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas mengumpul keseluruhan 247.20 mata.

Penerjun China - Chen Yiwen dan Chang Yani membawa pulang emas dan perak selepas masing-masing meraih 382.00 dan 350.25 mata, sementara Sayaka Mikami dari Jepun yang mengutip 304.65 mata meraih gangsa.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, kem terjun negara berjaya menyumbangkan satu perak menerusi acara 3m papan anjal seirama wanita dan empat gangsa masing-masing dalam acara 10m platform seirama wanita, 3m papan anjal seirama lelaki, 10m platform seirama lelaki dan 10m platform wanita.

Ia sekali gus memperbaiki pencapaian satu perak dan tiga gangsa yang diraih pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

"Sebenarnya kita sasar tiga pingat tetapi dapat lima, dua adalah bonus, jadi saya rasa ia keputusan yang bagus," kata pengurus pasukan yang juga bekas penerjun negara Datuk Leong Mun Yee.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!