Premis judi berselindung di sebalik kedai telekomunikasi, kedai kopi

Raiz Mukhliz (tengah) melihat sebuah premis dipotong bekalan elektrik dan disita dalam Ops Dadu di Bandar Muar, Muar pada Selasa.
Raiz Mukhliz (tengah) melihat sebuah premis dipotong bekalan elektrik dan disita dalam Ops Dadu di Bandar Muar, Muar pada Selasa.
A
A
A

MUAR - Taktik 10 premis di bandar ini yang menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan berselindung di sebalik perniagaan alat komunikasi dan kedai kopi terbongkar selepas polis melakukan serbuan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, polis bersama-sama pihak Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan serbuan dalam Ops Dadu pada jam 11 pagi.

"Premis yang diserbu ini menjalankan perniagaan menjual alat telekomunikasi dan perniagaan kedai kopi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Semua premis berkenaan dipotong bekalan elektrik oleh pihak TNB selain turut disita MPM di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian Perbandaran Muar 2018," katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Beliau memberitahu, menerusi operasi bersepadu itu yang dijalankan sejak tiga bulan lalu, sebanyak 51 serbuan dilakukan di seluruh daerah ini dalam usaha membanteras judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen (ENE).

Katanya, bagi judi dalam talian seramai 51 individu ditangkap dan sebanyak 41 kes sudah didakwa di mahkamah.

Bagi kes ENE pula katanya, sebanyak 106 serbuan dilakukan dengan 106 individu ditahan dan 71 kes sudah dituduh di mahkamah.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut sebanyak 17 premis yang menjalankan aktiviti judi dalam talian dan 18 premis menjalankan kegiatan ENE telah dipotong bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak MPM juga membuat sitaan dan pembatalan lesen perniagaan terhadap semua premis terbabit.