21 orang maut, bas terjunam dari jambatan di Venice

Sekurang-kurangnya 21 orang maut apabila sebuah bas terjunam dari sebuah jambatan berhampiran bandaraya Venice, Itali, kata pihak berkuasa tempatan. - Foto AP
Sekurang-kurangnya 21 orang maut apabila sebuah bas terjunam dari sebuah jambatan berhampiran bandaraya Venice, Itali, kata pihak berkuasa tempatan. - Foto AP
A
A
A

VENICE, ITALI - Sekurang-kurangnya 21 orang maut apabila sebuah bas terjunam dari sebuah jambatan berhampiran bandaraya Venice, Itali, kata pihak berkuasa tempatan.

Bas itu merempuh pagar penghalang dan terjatuh sekitar 10 meter ke atas trek kereta api di daerah Mestre yang dihubungkan dengan Venice melalui sebuah jambatan, lapor media tempatan.

Ketika ini, pasukan keselamatan berada di tempat kejadian bagi melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Datuk Bandar Venice, Luigi Brugnaro menyifatkan, ‘tragedi besar’ telah berlaku.

"Satu tragedi yang menghantui, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," kata beliau dalam hantaran di platform media sosial, X.

Seorang jurucakap pasukan keselamatan Venice memberitahu AFP, antara mangsa tragedi itu ialah dua orang kanak-kanak.

Sementara itu, agensi berita tempatan, Ansa melaporkan, selain 21 orang yang meninggal dunia, 12 penumpang lain dilaporkan cedera sementara lima lagi mangsa masih tidak ditemui.

Kemalangan itu berlaku sekitar pukul 7.45 malam (waktu tempatan) atau 1.45 pagi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, punca kemalangan masih tidak diketahui.

Laporan media Itali turut menyebut, bas itu terbakar selepas kemalangan.

Susulan itu, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni merakamkan ucapan takziah terhadap kejadian itu.

"Saya menzahirkan ucapan takziah yang mendalam secara peribadi dan daripada kerajaan di atas kejadian yang berlaku di Mestre.

“Kami menzahirkan rasa simpati kami kepada mangsa dan keluarga serta rakan-rakan mereka,” kata Meloni. - Agensi