Pemuda Amanah Kelantan persoal sikap membisu Ahmad

Mohd Romizu Mohd Ali
Mohd Romizu Mohd Ali
A
A
A

PASIR MAS - Pemuda Amanah Kelantan menempelak sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mengambil tindakan 'membisu' daripada memberi sebarang komen berhubung iklan pemberitahuan mengenai lelongan aset kerajaan negeri milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dijadualkan pada 27 Mei ini.

Naib Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Mohd Romizu Mohd Ali berkata, selaku Pengerusi PMBK, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu sepatutnya mengetahui mengenai perkara tersebut yang sememangnya berada dibawah bidang kuasa beliau.

"Saya hairan bagaimana seorang pengerusi tidak mengetahui perkara tersebut. Ini bukan perkara main-main, ia melibatkan aset milik kerajaan negeri. Jadi saya menuntut supaya beliau (Ahmad) menjelaskan perkara sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap Ahmad yang enggan memberikan komen berhubung isu tersebut.

Terdahulu, Ahmad meminta pihak media supaya merujuk isu tersebut kepada PMBK.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelong tanah, bukan milik PMBK

Menurutnya, penjelasan sebenar berhubung isu itu amat diperlukan bagi mengelakkan timbulnya fitnah lebih dahsyat selepas ini.

Katanya, beliau khuatir perkara itu akan menjejaskan imej kerajaan negeri yang telah 30 tahun mengamalkan dasar Membangun Bersama Islam.

Artikel Berkaitan:

"Setiap aset negeri adalah milik rakyat, jadi kami berhak untuk mengetahuinya," katanya.

Pada 13 Mei satu notis pengisytiharan jualan mengenai lelongan aset PMBK diiklankan melalui akhbar tempatan.

Iklan tersebut secara jelas menyatakan permohonan lelongan sebanyak 11 lot tanah oleh Malayan Banking Berhad (Maybank) selaku plaintif, manakala PMBK sebagai defendan.

Notis tersebut menjelaskan, jualan melalui lelongan awam itu akan dibuat pada 27 Mei nanti di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Selain itu, ia turut menyebut hartanah milik anak syarikat kerajaan negeri Kelantan itu akan dijual dengan harga rizab bernilai RM66.7 juta.

Lot tanah berkeluasan kira-kira 12.6 hektar tersebut terletak di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu.

Ia terdiri daripada lapan petak tanah komersial, satu petak tanah kediaman, satu petak pencawang elektrik dan satu petak tapak tangki air.