TNB siap sedia tampung peningkatan penggunaan elektrik

Mohd Nazri (berdiri, lima dari kanan) merakam gambar kenangan bersama warga media Terengganu sempena Majlis Berbuka Puasa TNB bersama media Terengganu, malam tadi.
Mohd Nazri (berdiri, lima dari kanan) merakam gambar kenangan bersama warga media Terengganu sempena Majlis Berbuka Puasa TNB bersama media Terengganu, malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu sudah bersedia untuk menampung peningkatan kadar penggunaan elektrik yang dijangka meningkat sehingga 30 peratus pada musim perayaan Aidilfitri nanti.

Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Terengganu, Mohd Nazri Puteh, berkata kapasiti bekalan elektrik di Terengganu ketika ini masih lagi melebihi daripada kadar penggunaan.

"Kini pihak TNB giat menjalankan kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan di semua stesen bekalan elektrik miliknya, sebagai persediaan menampung peningkatan kadar penggunaan elektrik ekoran kepulangan anak perantau ke Terengganu sepanjang Aidilfitri.

"TNB Terengganu juga memastikan semua anggota kerja dan keperluan genset berada dalam keadaan bersedia untuk meminimumkan gangguan bekalan elektrik seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa TNB bersama warga media Terengganu di sini, malam tadi.

Semasa ditanya mengenai jumlah gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada perayaan Aidilfitri sebelum ini, beliau berkata jumlahnya terlalu kecil iaitu tidak lebih 1.5 peratus daripada jumlah 370,000 pelanggan TNB di seluruh negeri.

"Kita juga menyusun jadual tugas dengan menetapkan 10 peratus daripada keseluruhan 900 kakitangan TNB di seluruh negeri untuk bertugas secara bergilir-gilir mengikut syif pada hari raya nanti terutama di lapan stesen bekalan kita," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata, TNB juga merancang meningkatkan kapasiti bekalannya untuk memenuhi keperluan pertambahan pengguna termasuk pelabur daripada luar negara terutama di beberapa kawasan perindustrian di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"TNB Terengganu sentiasa mengadakan perbincangan dan penyelarasan bersama kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan keupayaan infrastruktur sedia ada untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan projek pembangunan baharu kerana ia antara faktor yang boleh menarik pelabur ke Terengganu," katanya.