Dua tandas terpaksa kongsi 52 orang

Keadaan kontena yang dijadikan asrama pekerja warga asing
Keadaan kontena yang dijadikan asrama pekerja warga asing
A
A
A

SEREMBAN - Bukan saja terpaksa berkongsi dua tandas yang sempit seramai 52 orang, malah perlu tinggal di dalam asrama kontena yang sistem pengudaraannya tidak sempurna.

Itu keadaan asrama pekerja menempatkan warga asing yang diserbu Jabatan Tenaga Kerja dan Sumber Manusia (JTKSM) bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud dalam Ops Matela di sini pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati keadaan struktur kontena dua tingkat yang dihuni sekurang-kurangnya tiga pekerja bagi setiap kontena terbabit agak berbahaya kerana sudah berkarat dan reput.

Selain itu di kawasan belakang penginapan pula terdapat struktur lain dijadikan kemudahan dapur, namun tahap kebersihannya kurang memuaskan selain sistem pengaliran tidak sempurna.

Keadaan tandas disediakan di sebuab asrama menempatkan pekerja warga asing.
Keadaan tandas disediakan di sebuab asrama menempatkan pekerja warga asing.

Malah difahamkan asrama berkenaan sudah beroperasi selama 15 tahun secara 'tidak sah' kerana tidak mempunyai perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Mustapha berkata, asrama terbabit menempatkan pekerja sektor perkilangan yang menghasilkan tilam berasaskan bahan mentah getah.

"Dengan pemilikan ekuiti 100 peratus tempatan, majikan ini menggajikan seramai lebih 160 pekerja dengan komposisi 60 orang pekerja tempatan dan selebihnya adalah pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

"Majikan juga telah menyediakan penginapan dalam dua bentuk iaitu rumah apartmen dan penginapan jenis kontena," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, penginapan apartmen telah mendapat perakuan penginapan daripada JTK, tetapi penginapan kontena yang disediakan di dalam premis kilang tidak mempunyai perakuan, malah majikan belum membuat sebarang permohonan.

Tambahnya, tiada masalah untuk majikan menjadikan kontena sebagai asrama pekerja mereka tetapi perlu mengikut spesifikasi ditetapkan dan paling penting mendapat perakuan.

Keadaan dapur pekerja warga asing yang disediakan di asrama pekerja warga asing.
Keadaan dapur pekerja warga asing yang disediakan di asrama pekerja warga asing.

"Sehubungan itu majikan didapati melakukan pelanggaran terhadap Akta 446 di bawah JTK, namun siasatan terperinci bagi melihat pematuhan terhadap akta-akta lain termasuklah Akta Kerja dan Perintah Gaji Minimum akan dilakukan.

"Sebanyak tiga kertas siasatan dijangka dibuka di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan tindakan di bawah agensi lain turut akan diambil," katanya.

Beliau berkata, majikan tidak kira berkapasiti besar mahupun kecil adalah diminta untuk terus mempertingkatkan pematuhan terhadap semua akta yang dikuatkuasakan.

Tegasnya, Kementerian Sumber Manusia akan terus mempergiatkan penguatkuasaan selaras peruntukan perundangan dalam bidang kuasa yang dijalankan oleh semua jabatan dan agensi di bawahnya.

"Pelaksanaan berterusan ini adalah amat perlu bagi memastikan industri perburuhan negara adalah mesra pekerja dan mengekalkan keharmonian antara semua pemain industri sama ada majikan, pekerja mahupun pemegang taruh," katanya.

Mustapha (dua dari kanan) memeriksa dokumen seorang pekerja warga asing yang tinggal di asrama kontena.
Mustapha (dua dari kanan) memeriksa dokumen seorang pekerja warga asing yang tinggal di asrama kontena.

Ops Matela dilaksanakan secara bersama oleh Ibu Pejabat JTKSM, JTK Negeri Sembilan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan juga polis.