Jangan berharap masuk syurga andai tiada sekelumit rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW

CINTAI, kasihi, kenali dan contohi akhlak Nabi Muhammad SAW jika mengimpikan masuk ke dalam syurga. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
CINTAI, kasihi, kenali dan contohi akhlak Nabi Muhammad SAW jika mengimpikan masuk ke dalam syurga. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
A
A
A

MESKIPUN Maulidur Rasul sudah pun berlalu, namun bukan bermaksud kita terus melupakan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Masakan tidak, kita semua ialah umat Baginda. Walaupun tidak pernah menemui secara empat mata dan hidup bersama Rasulullah SAW, perlu untuk kita kenal dan cinta nabi dan rasul terakhir itu.

Naib Pengerusi 2 Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS), Ustazah Nur Fatin Halil berkongsikan sebab mengapa kita wajib mencintai Nabi Muhammad SAW.

USTAZAH NUR FATIN
USTAZAH NUR FATIN

Ada tiga penyebab utama sebagaimana dijelaskan beliau menerusi laman web https://muis.org.my/ iaitu:

1. Mencintai Nabi merupakan tanda keimanan kita.

Ketahuilah bahawa seseorang dianggap tidak beriman andai tidak mencintai Baginda SAW. Bahkan, cinta itu perlu didahulukan sebelum manusia yang lain dan berada pada kedudukan kedua selepas cintakan ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang daripada kami sehingga aku lebih dikasihi oleh kamu berbanding dengan anak-anak, kedua ibu bapa dan manusia yang lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ada sebuah kisah yang menceritakan bahawa Saidina Umar al-Khattab mengakui mencintai dirinya sebelum Rasulullah SAW. Tindakannya itu mendapat teguran Baginda SAW.

Bukan itu sahaja, kecintaan kita kepada ALLAH juga hanya akan sempurna andai kita mencintai pesuruh-NYA iaitu Nabi kita dan mengikuti jalan yang ditunjukinya.

2. Nabi mencintai umatnya.

RASULULLAH SAW sentiasa mengingati umat Baginda. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
RASULULLAH SAW sentiasa mengingati umat Baginda. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Sebelum kita berusaha menyatakan rasa cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad SAW, Baginda terlebih dahulu telah mengungkapkan perasaan tersebut terhadap umatnya. Malah, Baginda rindu untuk bertemu dengan kita umatnya.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersama sahabat pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak ALLAH akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara (ikhwan) kita.”

Sahabat yang mendengar ketika itu bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang Mukmin) yang belum muncul (iaitu orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).” (Hadis Riwayat Muslim, Ibn Majah, an-Nasa’i dan Malik)

3. Kita perlukan Nabi untuk masuk syurga.

Fakta ini memang tidak boleh disangkal lagi. Ketahuilah, pintu syurga tidak akan terbuka melainkan selepas Nabi tiba terlebih dahulu dan membukakannya.

NABI MUHAMMAD SAW menjadi manusia pertama yang membuka pintu syurga. -Gambar hiasan
NABI MUHAMMAD SAW menjadi manusia pertama yang membuka pintu syurga. -Gambar hiasan

Sabda Rasulullah SAW: “Aku berjalan sampai ke depan pintu syurga pada hari kiamat, kemudian aku mengetuk pintu itu. Lalu dibuka pintu syurga, penjaganya bertanya: “Siapa kamu?” Rasulullah menjawab: “Aku Muhammad.” Penjaga syurga berkata: “Kerana kamulah aku diarahkan supaya tidak ada seorang pun ang boleh membuka pintu syurga ini sebelum datangnya kamu.” Rasulullah menyebut lagi: “Aku ialah Nabi yang paling ramai pengikut pada hari kiamat dan akulah orang pertama sekali akan mengetuk pintu syurga.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Melihat kepada hadis berkenaan, jelaslah Rasulullah SAW merupakan manusia pertama membuka pintu syurga. Selepas semua manusia dibangkitkan di padang mahsyar, Baginda dan umatnya menjadi kumpulan pertama yang memasuki ke jannah, mendahului umat nabi-nabi terdahulu.

Justeru, Ustazah Nur Fatin mengingatkan agar kita tidak berharap syurga andai tidak pernah ada sekelumit kasih dan cinta serta ingatan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Apatah lagi berada di sisi Baginda di dalam syurga selamanya.

“Marilah kita menghidupkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan besar Nabi kita. Cinta itu perlu dibaja dan digembur setiap saat dan ketika.

SENTIASA membasahkan lidah dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan mengikuti sunnah Baginda. -Foto: 123rf
SENTIASA membasahkan lidah dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan mengikuti sunnah Baginda. -Foto: 123rf

“Antaranya dengan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda, mempelajari sirah atau sejarah hidup Rasulullah dan mengikut sunnah Baginda,” ungkapnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!