Polis Johor gerak operasi kesan empat sekeluarga hilang

Laporan Sinar Online mengenai empat sekeluarga hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian.
Laporan Sinar Online mengenai empat sekeluarga hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor akan membantu mengesan empat sekeluarga berasal dari Kluang, yang dikhuatiri hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu pada minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor telah digerakkan bagi mendapatkan maklumat daripada keluarga dan Polis Terengganu.

"Polis Johor akan mengesan empat sekeluarga itu melalui polis di daerah Mersing, Kluang dan Batu pahat terutama pergerakan kenderaan mereka melalui jalan raya, kemungkinan besar untuk pulang ke Johor.

"Polis Terengganu telah mengeluarkan siaran akhbar tentang kes ini. Polis Johor akan sentiasa berhubung dengan Polis Terengganu bagi mendapatkan perkembangan dari masa ke semasa," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad dilaporkan berkata, laporan kehilangan empat mangsa berkenaan diterima pada Isnin.

Jelasnya, empat sekeluarga itu terdiri daripada dua anak, bersama adik lelaki dan ibu pengadu tidak dapat dihubungi sejak pagi 30 September lalu sehingga kini.

Siasatan mendapati kesemua mangsa telah pergi ke pulau peranginan itu pada 29 September dan menginap di Senja Bay Resort.

Mereka didapati telah mendaftar keluar 1 Oktober, kira-kira jam 8 pagi

Artikel Berkaitan:

Kesemua mangsa menaiki kenderaan jenis Proton Saga BLM berwarna biru muda dengan nombor pendaftaran JRW6380.

Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan yang digunakan mangsa telah bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah Jambatan Seberang Kastam, jam 10.06 pagi.